Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
30.05.08

Sukma: Selangor mahu tiket awal suku akhir

Oleh: Sayed Hesham Idris (UTUSAN MALAYSIA)

KUALA TERENGGANU - Selangor tiada pilihan selain menewaskan Sabah pada perlawanan kedua acara bola sepak pada Sukan Malaysia ke-12 (Sukma XII) hari ini jika mahu melangkah awal ke suku akhir.

Pengurus Selangor, Hamidin Mohd. Amin berkata, jika gagal menang ke atas Sabah pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah hari ini, Selangor bakal berdepan laluan getir ke suku akhir.

''Kita tiada pilihan ke atas Sabah esok (hari ini) selain menang, tak boleh seri, apatah lagi kalah ke atas Sabah jika kita mahu melangkah awal ke suku akhir.

Kita mahu mengambil sepenuh peluang dalam perlawanan esok bagi memastikan tiga mata penuh dapat diraih ke atas Sabah. Hanya tiga mata penuh esok (hari ini) dapat memastikan kita dapat mengelak halangan untuk mara ke pusingan seterusnya," katanya.

Selangor yang menyasarkan aksi final pada Sukma kali ini meraih suntikan moral selepas menang 3-0 ke atas Kelantan pada perlawanan pertama kelmarin.

Kesungguhan Selangor untuk menamatkan kemarau emas sejak 10 tahun lalu dijelmakan dengan aksi kemas para pemain pada perlawanan dengan Kelantan kelmarin selain mendapat sentuhan jurulatih Liga Super Selangor, Dollah Salleh.

Pada perlawanan kelmarin, Selangor bagaimanapun mengambil masa untuk menyesuaikan keadaan padang baru di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, terpaksa menunggu hingga ke minit 40 untuk menemui sentuhan gol menerusi Mohd. Fitri Shazwan.

Selangor mengesahkan kemenangan selesa menerusi jaringan Md. Zaiza Zainal Abidin dan Md. Alati Mahmud.

Begitupun jelas Hamidin, Selangor tidak memandang rendah kemampuan Sabah walaupun pasukan itu tewas 2-3 kepada Kedah, kelmarin.