25.05.08
Sukma: Selangor tak rela berputih mata
Oleh: Azidan Nahar (BERITA HARIAN)
SKUAD bola sepak Selangor tidak mahu lagi pulang awal dari temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII di Terengganu seperti sebelum ini ketika belum pun upacara perasmian dimulakan.
Selepas menanti selama 10 tahun sejak kali terakhir memenangi emas acara berkenaan pada Sukma Selangor 1998, skuad berkenaan tidak pernah mara ke final dan sering terkandas di peringkat kumpulan dengan pencapaian terbaik mereka ialah separuh akhir Sukma di Negeri Sembilan pada 2004.
Justeru tidak menghairankan, Selangor memasang impian lebih nyata kali ini apabila diperkuatkan dengan kehadiran sembilan pemain Liga Super, empat pemain Liga Perdana PKNS dan empat pemain Piala Presiden dengan sasaran untuk muncul di final.
"Kami mesti mara ke perlawanan akhir," kata pengurus pasukan, Hamidin Mohd Amin (gambar) ketika sidang media memperkenalkan skuad berkenaan di Stadium Shah Alam, semalam.
Katanya, walaupun Selangor muncul juara keseluruhan Sukma sejak 1996, pasukan bola sepak negeri itu sebaliknya selalu pulang hampa dengan dua edisi mereka gagal di peringkat kumpulan, manakala pada Sukma di Pulau Pinang 2000 mereka sekadar ke suku akhir.
Kali ini, skuad bawah 23 tahun negeri berkenaan juga akan diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain kebangsaan yang beraksi baik dalam Piala Antara Benua yang masih berlangsung kini iaitu Mohd Asrarudin Putra Omar, Safiq Rahim serta Mohd Nasriq Baharom.
Mereka juga sudah melakukan persiapan sejak Disember lalu dengan mengadakan perlawanan persahabatan bertemu Polis, Tentera, kelab dari Papua New Guinea, Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) serta pasukan Liga Super Selangor dan Melaka.
Ketua jurulatih, Dollah Salleh pula menyifatkan saingan Sukma kali ini sukar tetapi dia tetap berharap anak-anak buahnya dapat merealisasikan impian berkenaan.
Dollah juga terpaksa berkorban untuk melepaskan lebih separuh daripada pemain skuad utama Liga Super Selangor yang akan menghadapi saingan separuh akhir Piala FA yang akan berlangsung sebaik berakhirnya Sukma pada 14 Jun ini.