Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
25.05.08

Sukma XII: Selangor buru pingat emas acara bola sepak

Oleh: Wan Fakhrul Bakar (KOSMO!), Gambar: Osman Adnan (SFC)

"KONTINJEN Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) tujuh kali berturut-turut sebelum ini tetapi kesudahannya tetap sama di mana bola sepak gagal meraih emas.

"Jadi kali ini kita (pasukan bola sepak) tiada pilihan lain selain merebut tempat ke perlawanan akhir dan seterusnya memenangi pingat emas."

Demikian harapan pengurus skuad bola sepak Selangor ke Sukma XII di Terengganu, Hamidin Mohd. Amin yang menuntut komitmen semua pemainnya bagi merealisasikan sasaran itu.

"Kali terakhir kita menang emas ialah pada 1998. Selepas itu, cuma pada 2004 kita layak ke separuh akhir dan selebihnya kita terkandas di peringkat kumpulan," katanya pada sidang media pengumuman 18 pemain skuad berkenaan di Stadium Shah Alam petang semalam.

Hamidin yang juga Setiausaha Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memberitahu, 18 pemain itu dipilih dari kalangan 30 pelatih yang dipanggil menyertai sesi latihan di bawah kendalian jurulatih, Dollah Salleh dan pembantunya, Talib Sulaiman.

Mereka yang tersenarai ialah lapan pemain skuad Liga Super Selangor iaitu penjaga gol Nuraizat Aziz, Zaiza Zainal Abidin, Fadzirul Zakaria, Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim, Fazilidin Khalid, Nasriq Baharom dan Wan Hoesne Wan Hussain.

Empat pemain daripada skuad Piala Presiden Selangor iaitu penjaga gol Fairul Azwan Shahrullai, Fauzan Dzulkifli, Fitri Shazwan Raduwan dan Lukhman Hakim Jaafar.

Empat pemain daripada skuad Liga Perdana PKNS turut tersenarai iaitu Alafi Mahmud, Fairul Nizwan Nasir, Aizul Ridzwan Razali dan Adib Azuddin Latif beserta dua lagi pemain, Sazali Suwandi dan Fazli Baharuddin.

"Kita akan bertolak ke Kuala Terengganu pada Isnin (esok) untuk menghadapi tiga perlawanan awal dalam Kumpulan B iaitu menentang Kelantan (Rabu), Sabah (Jumaat) dan Kedah (Ahad)," kata Hamidin.