20.06.08
Diari pengurus - 19 dan 20 Jun 2008
Oleh: Zakaria Ab. Rahim (PENGURUS SELANGOR)
SEMALAM (Khamis, 19 Jun 2008) adalah hari yang paling sibuk buat saya. Maklumlah, baru 17 hari menjadi Pengurus Selangor, pasukan telah pun layak ke final.
Dulu masuk stadium selaku penyokong, tetapi sekarang masuk final selaku pengemudi pasukan. Memang kerusi ini sangat panas, tetapi saya suka benda panas-panas ini.
Saya suka pada cabaran dan menyahutnya kerana lagi tinggi suatu cabaran itu, lagi matang dan berpengalaman seseorang itu.
Apatah lagi jika berjaya mengatasi cabaran tersebut. Masuk Final Piala FA membawa dua kegembiraan kepada saya.
Pertama kerana mendapat peluang menjulang Piala FA buat julung-julung kalinya setelah hanya menempuh tiga perlawanan sejak menjadi pengurus pasukan.
Kedua, cita-cita dan janji saya kepada FAS untuk membawa pasukan Selangor ke Kejohanan Piala AFC 2009 akhirnya tercapai.
Pada saya, liga tempatan sebenarnya bukan lagi pentas utama buat pasukan lagenda seperti Selangor ini.
Kita sudah menjulang Piala Malaysia sebanyak 30 kali dan Piala FA sebanyak empat kali (mungkin lima kali selepas malam Sabtu ini). Satu pencapaian yang sukar untuk pasukan lain dapat saingi.
Maka dengan itu, kejohanan peringkat Asia menjadi keutamaan saya dan menjulang Piala AFC adalah idaman saya dan harus menjadi matlamat utama pasukan.
Namun, ini semua bergantung kepada komitmen yang padu daripada semua pemain, pegawai pasukan, pegawai FAS dan paling utama sekali ialah para penyokong.
Tanpa penyokong yang mantap, pasukan umpama karipap yang tidak berinti...hampeh...
Sebelah pagi (19 Jun 2008), saya turun pada sesi latihan di Padang PKNS. Pemain kelihatan bersungguh-sungguh berlatih kerana masing-masing ingin cuba mengambil perhatian saya dan Dollah untuk dibariskan dalam kesebelasan utama.
Insyallah, saya akan pertimbangkan seadil-adilnya bergantung kepada taktik dan strategi, bukan sewenang-wenangnya menurunkan pemain.
Selepas latihan, saya minum bersama Dollah dan Anuar sambil bincang strategi serta line-up pasukan. Gambaran kasar telah ada tetapi segalanya bergantung kepada 4 jam terakhir sebelum perlawanan bermula.
Kemudian saya terus ke pejabat kerana ada temujanji dengan beberapa pegawai. Saya biasanya mandi di pejabat sahaja. Bilik saya dilengkapi dengan bilik mandi.
Pukul 12 tengah hari, satu majlis perkenalan dan meraikan bersama pasukan Piala Belia, Bawah 17 dan Bawah 14 diadakan. Saya menyampaikan ucapan saya dengan menasihati pemain agar berdisiplin, jaga tingkah laku, tanam azam untuk bermain di skuad utama serta amalkan solat berjemaah di tempat penginapan masing-masing.
Selesai majlis, saya bergegas ke Stadium Shah Alam untuk mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Final Piala FA yang dipengerusikan oleh Datuk Azzuddin Ahmad, Setiausaha Agung FAM.
Pertama kali saya sertai mesyuarat seperti ini dan ramai agak terkejut kerana saya agak lantang semasa mesyuarat, apatah lagi, SU FAM adalah Datuk, Pengurus Kedah juga Datuk, tetapi saya sahaja yang bukan Datuk.
Selesai mesyuarat, diadakan pula sidang akhbar Final Piala FA. Ramai wartawan dan jurugambar tiba. (Gambar sidang media ada dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini - 20 Jun 2008).
Kemudian saya terus bergegas ke padang PKNS untuk bersama-sama pasukan Piala Presiden yang menentang Kuala Muda Naza. Serangan bertubi-tubi dibuat ke gol KM Naza, tetapi akhirnya kita tewas 1- 2.
Tamat perlawanan, saya kembali ke Stadium Shah Alam untuk sessi latihan penyesuaian pada pukul 8 malam. Ingat nak lelap mata kejap lepas solat maghrib di stadium, tetapi apabila difikirkan komitmen saya pada pasukan, saya batalkan niat tersebut, tetapi terus bersama pemain turun ke padang sepak-sepak bola.
Selepas latihan, saya ke Carlton Hotel, Shah Alam dan berbincang bersama Dollah, Anuar Abu Bakar serta ramai lagi hingga pukul 2 pagi.
Balik ke rumah, saya buka SFC, baca komen, tetapi belum sempat habis baca komen....saya yang habis dulu....penat, tetapi atas dasar rasa hormat dan hargai pengorbanan penyokong, saya terus on notebook dan baca komen anda semua.
Pagi ini (20 Jun 2008), saya masuk pejabat. Petang nanti ada perlawanan bolasepak persahabatan antara FAS Officials lawan SSFC. Anda di SFC jadi jemputan saya petang ini, tapi jangan duduk dekat pintu 7 kerana Padang PKNS hanya ada dua pintu sahaja...satu masuk...satu keluar.
Sekian, Wasalam
Zack
11.05 pagi, 20 Jun 2008