Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
21.06.08

Amri jadi sandaran gempur kubu Kedah

Oleh: BERITA HARIAN

TATKALA tumpuan lebih terarah terhadap kelincahan penyerang Safee Sali dan ketangkasan Indra Putra Mahayudin memastikan kebangkitan Selangor, nama Amri Yahyah (gambar) kurang mendapat perhatian peminat Merah Kuning sejak kebelakangan ini.

Namun pemain kelahiran Tanjung Karang itu dalam diam memikul peranan penting yang merangka laluan Selangor ke final Piala FA di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pemain serba boleh yang memulakan karier bersama Selangor pada 2001 itu pada awalnya beraksi sebagai penyerang sebelum digunakan di posisi tengah dan pertahanan kanan. Tetapi kini, jurulatih Dollah Salleh kembali memilihnya selaku penyerang utama Selangor.

Amri memainkan peranan penting dalam dua aksi separuh akhir bertemu Terengganu dan bagi pemain itu, dia tidak kisah beraksi di mana-mana posisi kerana apa yang penting adalah kejayaan Selangor.

"Saya sebenarnya lebih selesa beraksi sebagai penyerang, tetapi demi membantu pasukan saya rela beraksi di mana-mana posisi mengikut perancangan jurulatih.

"Jika diturunkan sebagai penyerang esok (hari ini), saya mahu membantu Selangor menjulang kejuaraan kelima Piala FA dan jika boleh, menjaringkan gol kemenangan seperti dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2002," kata Amri.

Pemain lincah itu juga tidak kisah jika peminat Selangor lebih tertumpu kepada rakan sepasukan seperti Safee dan Indra Putra kerana kurangnya tumpuan peminat membolehkan dia lebih bebas beraksi tanpa tekanan.

"Bagi saya, apa yang penting ialah kejayaan pasukan dan cukup jika kehadiran saya dalam pasukan dapat menyuntik kestabilan dan membantu kemenangan," kata Amri.

Sementara itu, ketiadaan Marlon Alex James juga membolehkan tugas selaku penggempur utama Kedah digalas pemain sayap kebangsaan, Khyril Muhymeen Zambri yang semakin serasi dengan tugas itu.

Seperti Amri, Khyril turut memasang impian untuk menggegarkan jaring lawan malam ini bagi memastikan kejuaraan Piala FA kekal milik Kedah.

"Saya rasa gandingan saya bersama Shafiq (Jamal) kini bertambah baik dan ia membuatkan ketiadaan Marlon seperti kurang dirasai. Saya juga semakin selesa bermain selaku penyerang utama.

"Apabila bermain di depan, tugas utama saya adalah untuk menembusi gawang lawang dan saya akan berusaha melakukannya malam esok (malam ini). Apapun, saya tetap meramalkan pertarungan sengit dengan Selangor kerana mereka juga mengenali corak permainan kami," kata Khyril.