Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.06.08

Benteng pertahanan jadi punca Gergasi Merah tumbang

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

JURULATIH Selangor, Dollah Salleh mengakui kepincangan benteng pertahanan menjadi punca kekalahan 2-3 kepada Kedah pada perlawanan akhir Piala FA 2007/08 di Stadium Shah Alam kelmarin.

Menurut Dollah, bahagian pertahanan Selangor yang dibarisi Evans Chisulo, Razman Roslan, P. Gunalan dan Nasriq Baharom dalam perlawanan itu hilang punca sepanjang minit pertama sehingga penghujung separuh masa pertama.

"Apabila pertahanan hilang punca, Kedah ambil kelebihan itu sepenuhnya. Bila kita beraksi dengan baik pun, barisan pertahanan tetap membuat 'silly mistake'," kata Dollah pada sidang media selepas perlawanan.

Kedah mendahului seawal minit pertama menerusi Fadly Baharom sebelum Amirul Hadi Zainal menyamakan kedudukan pada minit ke-13.

Kedah terus gah apabila Khyril Muhymeen dan Syafiq Jamal menambah dua lagi gol pada minit ke-32 dan 50 tetapi sepakan penalti pemain gantian, Frank Seator pada minit ke-71 menjadikan kedudukan 3-2.

Ditanya tentang percaturannya menggandingkan Safee Sali dan Amri Yahyah sebagai penyerang, Dollah mengakui ia kurang menjadi kerana kedua-dua mereka dilihat lebih bertindak secara individual selain sokongan dari bahagian tengah yang agak perlahan.

"Saya belum tentukan lagi (untuk meletakkan Amri kembali di posisi bek kanan). Kena tengok dulu macam mana. Kemasukan Seator pun saya lihat dapat kembali menguatkan jentera serangan," jelasnya.

Sambil terus menyalahkan barisan pertahanannya, Dollah dijangka menurunkan pemain pinjaman dari KL Plus, Nazrul Erwan Makmor pada perlawanan kedua Piala Malaysia menentang Sarawak di Stadium Shah Alam malam esok bagi menyelesaikan masalah pertahanan.

"Sebab itulah saya panggil Nazrul. Saya perlukan seorang pemain yang boleh memimpin barisan pertahanan. Chisulo walaupun seorang pemain import, dia baru 24 tahun, jadi cara dia memimpin pertahanan masih jauh," kata Dollah.