Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
22.06.08

Final Piala FA: Kedah 3-2 Selangor

Oleh: misai11 (SELANGORFC.COM)

KEDAH berjaya merangkul kejuaraan kedua mereka musim ini selepas mencatat kemenangan tipis 3-2 menewaskan Selangor pada perlawanan akhir Piala FA 2007/08 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Kedah bermula garang mendahului Selangor seawal minit pertama selepas pemain sayap kiri, Fadly Baharom berjaya menolak masuk hantaran lintang Badrol Bakhtiar dari sebelah kanan untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Suffian Abdul Rahman.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor hampir menyamakan kedudukan pada minit kelima namun gerakan solo Safee Sali dari sebelah kanan gagal disudahkan Amri Yahyah apabila sepakan lemahnya ditampan keluar penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias.

Usaha berterusan Selangor akhirnya berhasil pada minit ke-13 apabila pemain tengah, Amirul Hadi Zainal menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang dari dalam kotak penalti setelah hantaran silang Elie Aiboy dari sebelah kanan gagal dikeluarkan pertahanan Kedah.

Namun, Kedah terus mengganas pada minit ke-32 menerusi gerakan satu dua antara Nelson San Martin dan Khyril Muhymeen yang disudahkan dengan rembatan deras Khyril yang gagal diselamatkan Suffian untuk gol kedua Kedah.

Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua bermula, Selangor sekali lagi hampir menyamakan kedudukan tetapi sepakan Safee hasil gerakan satu dua dengan Amri sedikit tersasar pada minit ke-46.

Sebaliknya, Kedah pula berjaya menjarakkan kedudukan 3-1 pada minit ke-50 setelah P. Gunalan gagal memintas hantaran Khyril dari tengah padang yang disudahkan Syafiq Jamal untuk gol ketiga Kedah.

Selangor bagaimanapun kembali merapatkan kedudukan apabila penyerang gantian, Frank Seator menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-71 selepas dia sendiri dijatuhkan Helmi dalam kotak penalti.

Peluang Selangor untuk menyamakan kedudukan kembali terbuka apabila pemain gantian Kedah, Sabri Abu dilayangkan kad merah pada minit ke-75 setelah dia bertindak balas ke atas Amri.

Bagaimanapun, pertarungan dramatik di hadapan 40,000 penyokong kedua-dua pasukan itu berakhir dengan kemenangan buat Kedah selepas asakan bertubi-tubi jentera serangan Selangor selepas itu gagal membolosi Helmi.

Piala kemudiannya disampaikan sendiri oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan pemain Kedah, Khyril Muhymeen dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

SELANGOR:

21- Suffian Abdul Rahman, 3- Razman Roslan (16- Abd. Ghani Abd. Rahman), 4- Evans Chisulo, 26- Nasriq Baharom, 15- P. Gunalan, 8- Elie Aiboy, 24- Amirul Hadi Zainal (23- Indra Putra Mahayuddin), 25- Shukor Adan (Kapten), 11- R. Surendren (9- Frank Seator), 10- Safee Sali, 17- Amri Yahyah.

KEDAH:

1- Helmi Eliza Elias, 2- Victor Andrag (Kapten) (3- Ronny Harun), 6- Shafizan Hashim, 16- Fazliata Taib, 17- V. Thirumurugan, 10- Nelson San Martin, 11- Fauzi Shaari, 15- Fadly Baharom (13- Saramsak Kram), 27- Badrol Bakhtiar, 18- Khyril Muhymeen, 28- Syafiq Jamal (26- Sabri Abu).

Pengadil: Lee Chong Seng (PERAK)