29.06.08
Gergasi Merah tempang
Oleh: www.fam.org.my
DIHIMPIT kecederaan dan penggantungan, Gergasi Merah bertandang ke Kota Bharu untuk kempen Piala Malaysia Kumpulan A dengan hanya 13 pemain yang cergas.
Situasi ini cukup memeningkan jurulatih Selangor, Dollah Salleh.
Dikecam oleh peminat Merah Kuning yang menganggap kekalahan 3-0 kepada Negeri Sembilan Jumaat lalu berpunca daripada kesilapan taktikal Dollah, dia mempertahankan keputusannya sambil berusaha meneruskan cabaran tanpa khidmat beberapa pemain tonggak.
"Kadangkala peminat tidak faham mengapa saya membuat sesuatu keputusan. Umpamanya apabila Nasriq Baharom (bawah-21) tercedera tempoh hari, saya terpaksa memasukkan pemain yang seusia dengannya, maka saya masukkan Safiq Rahim.
"Indra Putra Mahayuddin terpaksa dikeluarkan dan apabila P. Gunalan pula tercedera, saya meletakkan R. Surendren di posisi bek kiri.
"Nasib kami bertambah malang apabila Surendren dikenakan kad kuning kedua sedangkan dia membuat bentesan yang kemas. Ini ditambah pula dengan kad merah yang dilayangkan kepada Amri beberapa minit kemudian.
"Beberapa jam sebelum perlawanan, penjaga gol Suffian Abdul Rahman pula demam, jadi saya terpaksa mengubah perancangan. Saya harap peminat sedar masalah yang kami hadapi," kata Dollah.
Bekas penyerang kebangsaan itu juga merujuk kepada prestasi lesu yang dipamerkan oleh Kedah, Pahang dan Terengganu, kebetulan tiga pasukan yang mewarnai saingan separuh akhir Piala FA.
"Kita tidak boleh lari daripada hakikat jadual yang ketat banyak menjejaskan perancangan kami. Selain keletihan, pasukan berdepan masalah yang lebih meruncing apabila pemain dilanda kecederaan atau penggantungan," kata Dollah.
Dollah mendedahkan selain Amri dan Surendren yang digantung secara automatik, antara pemain yang menanggung kecederaan termasuk Akmal Rizal Rakhli (lutut), Nasriq (hamstring), Gunalan (pangkal paha) dan Razman Roslan (pangkal paha) manakala Fadzli Saari dan D. Surendran masih berusaha memburu kecergasan penuh sesudah lama berehat.
Tiga belas pemain Gergasi Merah yang cergas adalah Megat Amir Faisal Ibrahim, Suffian, Nazrulerwan Makmor, Evans Chisulo, Amirulhadi Zainal, Elie Aiboy, Indra, Safiq, Shukor Adan, Frank Seator, Safee Sali, Zaiza Zainal Abidin dan Asraruddin Putra Omar.
"Saya terpaksa juga membawa beberapa pemain yang tercedera bagi melengkapkan senarai 20 pemain," kata Dollah.
Kemenangan 3-0 di Shah Alam Jumaat lalu membolehkan Negeri menduduki tangga teratas dengan tujuh mata, berkongsi kedudukan dengan Kelantan yang sudah bermain empat kali.
Kelantan dijangka menyandar harapan kepada Enock Bentil, Nizad Ayob dan Badhri Radzi untuk merobek gawang Selangor yang ketika ini tempang.