14.06.08
Jangan sesekali beri ruang - Shukor
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
KAPTEN Selangor, Shukor Adan mengingatkan rakan-rakan sepasukannya supaya tidak memberi ruang kepada Terengganu untuk meloloskan diri pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam malam ini.
Jelas Shukor, 29, jaringan gol di tempat lawan amat penting kerana ia bakal menentukan pasukan mana akan layak ke perlawanan akhir Sabtu depan sekiranya kedudukan agregat terikat selepas perlawanan kedua nanti.
"Jangan beri Terengganu gol. Sebaliknya, kami perlu menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri dan menterjemahkan segala peluang yang hadir ke dalam pintu gol lawan," katanya ketika ditemui Kosmo! sewaktu sesi latihan di Stadium Shah Alam petang semalam.
Shukor yang menjaringkan gol penyamaan skuad kebangsaan ketika seri 1-1 dengan Indonesia di Surabaya minggu lalu turut berharap komitmen para pemain Selangor ketika mengikat Terengganu 1-1 pada aksi Piala Malaysia Rabu lalu dapat dikekalkan malam ini.
"Kita dah tahu kekuatan dan kelemahan pasukan lawan. Jadi, kami akan beraksi bermati-matian untuk mencari defisit sekurang-kurangnya dua gol sebagai bekalan ke Kuala Terengganu Selasa ini.
"Walaupun pemain pinjaman kami iaitu Nazrul Erwan Makmur tak dapat diturunkan, Terengganu juga kehilangan dua pemain pinjaman mereka iaitu Liew Kit Kong dan Hairulnizam Hanif," ujarnya.
Jentera serangan Selangor bakal diperkuatkan kembali penyerang kebangsaan, Safee Sali yang sudah cergas sepenuhnya tetapi penjaga gol utama, Suffian Abdul Rahman pula tidak pasti akan diturunkan kerana masih cedera ibu jari kaki kirinya.