26.06.08
Kemenangan moral buat Red Giants - Zakaria
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
KEJAYAAN menewaskan Sarawak 3-1 di Stadium Shah Alam kelmarin dianggap sebagai kemenangan moral buat Selangor selepas mereka dirundung kekecewaan tewas kepada Kedah pada perlawanan akhir Piala FA Sabtu lalu.
Pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata, walaupun para pemainnya masih keletihan selepas mengerah sepenuh kudrat Sabtu lalu, mereka tetap berusaha mempamerkan aksi terbaik untuk menewaskan Sarawak.
"Kalau ikutkan, memang saya tak puas hati menang 3-1 saja kerana saya jangka kita boleh menang lebih dari tiga gol. Tapi yang penting kemenangan ini dapat menaikkan semula moral pemain," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan.
Tentang aksi hambar Selangor dalam perlawanan kelmarin, Zakaria beranggapan ia berpunca daripada corak permainan Sarawak yang terlalu bertahan selain keletihan anak-anak buahnya sendiri.
"Ada pemain mengadu keletihan sebelum perlawanan, tapi kita tak mahu ambil risiko menurunkan mereka yang tak bersedia dan lama tak beraksi. Harap pemain kembali pada keadaan normal apabila turun bertemu Negeri Sembilan," ujarnya.
Sementara itu, jurulatih Selangor, Dollah Salleh berharap dua pemainnya iaitu Elie Aiboy dan Razman Roslan yang tidak diturunkan kelmarin dapat pulih daripada kecederaan menjelang perlawanan bertemu Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam malam esok.
"Elie dan Razman dijangka dapat pulih. Amirul Hadi Zainal pula tak pasti lagi keadaannya. Itu sebab tadi saya keluarkan Safee Sali dan Frank Seator untuk beri mereka rehat memandangkan jadual perlawanan begitu ketat," katanya selepas perlawanan.
Mengulas perlawanan tersebut, Dollah berkata, tempo permainan Sarawak yang agak perlahan selain kurangnya pasukan lawan itu melakukan serangan menyebabkan anak-anak buahnya turut terikut gaya permainan hambar.
Pada perlawanan itu, tiga gol Selangor diperolehi menerusi Frank Seator pada minit ke-39, Safee Sali (66) dan Akmal Rizal Rakhli (90) manakala gol tunggal Sarawak hasil sepakan penalti Saifoulaye Camara (85).
Selepas dua perlawanan, Selangor kini mendahului Kumpulan A menerusi kelebihan perbezaan gol biarpun berkongsi empat mata dengan Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan, diikuti Sarawak (3 mata) dan Melaka (0 mata).
Kelantan dan Negeri Sembilan bagaimanapun sudah beraksi tiga perlawanan.