20.06.08
Memori 1991 gamit semangat Amirul
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
PERLAWANAN akhir Piala FA edisi ke-19 malam esok pasti menggamit semangat Mohd. Amirul Hadi Zainal dalam memastikan Selangor muncul juara buat kali kelima sejak piala itu diperkenalkan pada 1990.
Pada masa yang sama, Amirul, 22, turut berhasrat mengulangi kejayaan bapanya, Zainal Nordin yang pernah membantu Selangor muncul juara Piala FA pada tahun 1991, iaitu piala sulung yang dimenangi Selangor dalam kempen kejohanan itu selepas menewaskan Perak 1-0.
"Saya ingat lagi, ketika itu saya baru berusia lima tahun dan pergi ke Stadium Merdeka untuk menonton ayah beraksi dalam perlawanan akhir.
"Selepas perlawanan, saya sempat memegang Piala FA ketika jurulatih Ken Worden membawanya. Kini setelah 17 tahun berlalu, saya sendiri berazam untuk menjulang Piala FA selaku pemain," katanya.
Namun, jika Selangor menang esok, Amirul tidak dapat menjulang piala yang dipegangnya pada 1991 itu kerana ia sudah digantikan dengan piala baru pada 2005 di mana Selangor muncul pemenang sulungnya setelah menewaskan Perak 4-2 di Stadium Shah Alam.
"Memang tak sabar rasanya nak tunggu perlawanan akhir ini. Dari segi fizikal dan mental, saya sudah bersedia. Saya tak kisah diletakkan di posisi mana, yang penting saya mahu kalahkan Kedah," ujarnya.