Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
19.06.08

Merah Kuning tekad rampas trofi

Oleh: Azidan Nahar (BERITA HARIAN)

STADIUM Shah Alam sekali lagi akan menjadi saksi sama ada Selangor mampu mengulangi memori indah menjuarai Piala FA buat kelima mereka sejak 1990 - barisan paling banyak menjuarai mahkota kejuaraan itu sejak 17 tahun lalu.

Dan berdasarkan persembahan ‘kurang bertenaga’ tetapi sudah ‘cukup bagus’ ketika menewaskan Terengganu 2-1 di stadium yang sama pada separuh akhir pertama dan seri 1-1 pada pertemuan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin, Selangor tampak mampu mengulanginya sekali lagi, Sabtu ini.

Namun, lawan mereka nanti, Kedah bukan calang-calang pasukan perlu ditentang anak buah Dollah Salleh kerana juara bertahan dari utara itu turut menjelmakan perwatakan sang juara selepas menewaskan Pahang 4-1 pada perlawanan pertama dan 2-0 di Stadium Darulmakmur, kelmarin,

Dalam perlawanan akhir di Stadium Batu Kawan, tahun lalu Kedah menewaskan Perlis 4-2 menerusi sepakan penalti selepas kedudukan penuh masa terikat 0-0.

Tidak dinafikan Kedah bakal hadir selaku pasukan dengan jentera penggempur ampuh - cuma kelebihan pastinya pada sorakan bergema penyokong Merah Kuning dan stadium keramat mereka.

"Saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku tetapi kenapa kami tidak boleh berasa yakin," kata jurulatih Selangor, Dollah Salleh ketika diajukan pertanyaan mengenai detik final itu.

"Semalam (pertemuan menentang Terengganu kelmarin) kami menampilkan permainan terbaik. Kami menemui gandingan terbaik menerusi Amri (Yahyah) dan Safee (Sali), mereka semakin menjadi."

Dan itulah yang diharapkan Dollah, pengendali yang sama ketika merasai bahang kemenangan pada 2005, cuma kali ini dia berharap aksi yang sama akan dipamerkan gandingan penyerangnya itu untuk saingan, Sabtu ini.

"Jika boleh, saya mahu kekalkan gandingan itu kerana mereka bermain sangat baik terutama pada babak pertama," katanya.

Ketika Kedah hanya selangkah lagi untuk mendapatkan piala kedua mereka selepas bergelar juara Liga Super, Selangor digambarkan Dollah sudah menemui kembali ‘sentuhan’ sebenar mereka seperti dilakukan ketika memenangi tiga piala pada musim 2005.