13.06.08
Pengurus Selangor puas
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
PENGURUS Selangor, Zakaria Rahim tetap memuji kesungguhan pemainnya meskipun mereka hanya mencatat keputusan seri 1-1 dengan Terengganu pada perlawanan pembukaan saingan bola sepak Piala Malaysia malam kelmarin.
Bagi Zakaria, keputusan itu dianggap satu permulaan baik memandangkan ia merupakan perlawanan pertama baginya selaku pengurus baru skuad Selangor.
"Secara keseluruhan, permainan Selangor semalam (kelmarin) agak baik jika diambil kira masa rehat yang panjang selepas berakhirnya Liga Super. Saya gembira melihat semangat dan komitmen pemain.
"Benteng pertahanan yang digalas Nazrul Erwan Makmur dan Evans Chisulo nampak mantap di samping kecemerlangan penjaga gol (Suffian Abdul Rahman) menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Namun, katanya keadaan padang yang teruk akibat hujan lebat ketika perlawanan berlangsung telah mengganggu rentak permainan pasukannya.
"Frank Seator agak mengecewakan kerana persembahannya berada di bawah tahap sebenar. Kita terpaksa menggandingkannya dengan Amri Yahyah kerana Safee Sali masih cedera. Jadi pada babak kedua, kita menggantikan Seator dengan Akmal Rizal Rakhli," jelasnya.
Zakaria bagaimanapun tetap melaungkan keyakinan bahawa Selangor mampu mencatat kemenangan ke atas Terengganu pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam malam esok.
"Kalau pemain dapat mengekalkan prestasi, ditambah pula keadaan padang yang baik serta kembalinya Safee dalam kesebelasan utama, kita boleh menang sekurang-kurangnya dua gol untuk bekalan menghadapi perlawanan kedua pada Selasa depan di gelanggang lawan," tegasnya.