Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
26.06.08

Pengurus Selangor yakin tiga mata penuh di Shah Alam

Oleh: Zakaria Ab. Rahim (PENGURUS SELANGOR)

SETELAH mencapai kemenangan selesa pada Selasa lepas dengan mengalahkan Sarawak di Shah Alam 3-1, pasukan Selangor kini berasa lebih yakin dan bersemangat untuk bangkit dari kekecewaan Piala FA Sabtu lepas bagi perlawanan Piala Malaysia seterusnya, menentang Negeri Sembilan malam esok (Jumaat).

Ditambah pula dengan kembalinya beberapa pemain cedera yang telah pulih dari kecederaan, saya dan jurulatih mengalami kesulitan untuk membariskan kesebelasan utama bagi pertemuan ini.

Kecuali Abdul Ghani Rahman yang baru menjalani pembedahan paru-paru, lain-lain pemain semua sudah bersedia untuk diturunkan termasuk Fadzli Shaari dan S. Sritharan.

Akmal Rizal pula sudah semakin yakin selepas mendapat semula sentuhannya apabila berjaya menyumbangkan satu gol ketika bertemu Sarawak tempoh hari.

Pertemuan dengan Negeri Sembilan ini dianggap sangat penting kerana pertemuan terakhir di Shah Alam sewaktu saingan Liga Super, Selangor telah diaibkan di tempat sendiri apabila tewas 0 - 3 dan seterusnya terlepas peluang merebut Naib Juara Liga Super.

Atas kegagalan itu, para pemain sudah tidak sabar untuk menebus kembali kekalahan lalu.

Saya yakin dengan semangat para pemain yang mahukan Piala Malaysia kembali ke pangkuan Selangor setelah terlepas Liga Super dan Piala FA baru-baru ini.

Para pemain telah berjanji akan bermain bersungguh-sungguh bagi menjamin 3 mata penuh diakhir perlawanan esok sebelum berangkat ke Kota Bharu Ahad ini bagi pertemuan dengan Kelantan Isnin depan.

Semua pemain termasuk pemain simpanan sudah bersiap sedia untuk mengempur kubu Negeri Sembilan habis-habisan dan dalam masa yang sama akan memastikan penggempur Negeri Sembilan yang diketuai oleh Zaquan tidak akan dapat bergerak bebas di kawasan Selangor.

Saya janji kepada semua penyokong Selangor, satu permainan menarik akan disaksikan esok dan menggesa semua penyokong Selangor untuk turun beramai-ramai ke Stadium Shah Alam bagi menyemarakkan semangat para pemain.

Zack

26 Jun 2008