Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
06.06.08

Persahabatan: Selangor 0-2 Pahang

Oleh: misai11 (SELANGORFC.COM)

DUA kesilapan mudah yang dilakukan barisan pertahanan mengakibatkan Selangor tewas 0-2 kepada Pahang pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam malam tadi.

Pahang berjaya memperolehi gol pertama menerusi penyerang import dari Maghribi, Reduane Barkaoui selepas berjaya merampas bola dari pertahanan Selangor, D. Surendran pada minit ke-15.

Tiga minit kemudian, kecuaian pertahanan import, Evans Chisulo pula membolehkan penyerang Pahang, Hairuddin Omar melakukan percubaan yang dapat ditepis penjaga gol, Suffian Abdul Rahman.

Bagaimanapun, bola muntah tersebut berjaya juga disudahkan oleh Reduane untuk gol kedua Pahang pada minit ke-18.

Selepas itu bola lebih banyak berlegar di tengah padang tanpa percubaan berbahaya dari kedua-dua pasukan dengan Selangor hanya dapat melakukan percubaan tepat pertama ke arah pintu gol Pahang pada minit ke-40.

Babak kedua bermula, aksi Selangor dilihat sedikit bernyawa dan nyaris memperolehi gol pertama tetapi percubaan penyerang muda, Wan Hoesne Wan Hussain sekadar menggegar tiang gol Pahang yang dikawal Syamsuri Mustafa.

Lima minit sebelum permainan berakhir, pemain serba boleh Selangor, Amri Yahyah dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah selepas mengasari pertahanan import Pahang.

Pada perlawanan malam tadi, Selangor turut menurunkan pemain pinjaman dari KL Plus, Nazrul Erwan Makmur yang bertindak sebagai ketua pasukan dan mengemudi benteng pertahanan bersama Chisulo.

Selangor bagaimanapun tidak dapat menurunkan enam pemain utamanya iaitu Shukor Adan, Safee Sali, Amirul Hadi Zainal, Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Rakhli serta pemain import dari Indonesia, Elie Aiboy yang terlibat dengan perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia di Surabaya petang tadi.

SELANGOR:

21-Suffian Abdul Rahman (22-Megat Amir Faisal), 19-D.Surendran (16-Abdul Ghani Rahman), 29-Nazrul Erwan Makmur (C) (26-Nasriq Baharom), 4-Evans Chisulo (6-Fadzirul Zakaria), 27-Asraruddin Putra Omar (15-P.Gunalan), 7-S.Sritharan, 3-Razman Roslan (20-Fadzli Shaari), 28-Safiq Rahim (2-Zaiza Zainal Abidin), 11-R.Surendran (30-Wan Hoesne Wan Hussain), 17-Amri Yahyah, 9-Frank Seator (31-Azri Alwan Nordin).