28.06.08
Piala Malaysia: Selangor 0-3 N. Sembilan
Oleh: misai11 (SELANGORFC.COM)
KESILAPAN percaturan jurulatih Selangor, Dollah Salleh memasukkan pemain sayap, Amirul Hadi Zainal menggantikan bek kiri, P. Gunalan pada minit ke-69 menjadi punca kepada kekalahan memalukan 0-3 kepada Negeri Sembilan pada aksi ketiga Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.
Terdahulu, Negeri Sembilan mendahului 1-0 pada minit ke-30 menerusi jaringan penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Razak selepas keadaan kelam kabut di depan pintu gol Selangor seterusnya menewaskan Megat Amir Faisal.
Ketika jaringan itu, Selangor beraksi 10 pemain kerana Dollah terlalu lambat melakukan pertukaran pemain setelah bek kanan, Nasriq Baharom diusung keluar akibat kecederaan dua minit sebelum itu.
Hanya pada minit ke-32, Dollah melakukan dua pertukaran serentak memasukkan Amri Yahyah menggantikan Nasriq manakala Safiq Rahim masuk menggantikan Indra Putra Mahayuddin yang mempamerkan aksi tidak bermaya sepanjang setengah jam perlawanan.
Babak pertama berakhir dengan Selangor ketinggalan 0-1.
Pada minit ke-70 iaitu seminit selepas Dollah tersilap percaturan memasukkan Amirul menggantikan Gunalan, pemain sayap Negeri Sembilan, S. Kunalan berjaya menjaringkan gol kedua apabila tolakan lemahnya gagal diselamatkan Megat Amir untuk kedudukan 2-0.
Gol itu berpunca daripada kepincangan pertahanan Selangor di sebelah kiri setelah Dollah meletakkan Surendren yang sebelum itu beraksi di posisi sayap kiri untuk menggalas tugas sebagai bek kiri sedangkan terbukti bekas penyerang Perak itu bukan seorang pemain pertahanan.
Ternyata jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Hassan pantas menghidu kesilapan taktikal Dollah itu dengan mengarahkan anak-anak buahnya berterusan menyerang di sebelah kanan, iaitu kawasan pertahanan yang dikawal Surendren.
Akibatnya, seminit kemudian iaitu pada minit ke-71, Surendren yang dalam keadaan terdesak telah menjatuhkan pemain Negeri Sembilan di dalam kotak penalti seterusnya dia dilayangkan kad kuning kedua dan kad merah.
Surendren sebelum itu telah menerima kad kuning pertama pada minit ke-24 akibat membantah keputusan pengadil, Subkhiddin Salleh selepas Gunalan melakukan kekasaran terhadap pemain lawan.
Sepakan penalti itu mudah disempurnakan penyerang import Negeri Sembilan, Lamin Conteh pada minit ke-72 untuk menjarakkan kedudukan menjadi 3-0.
Pada minit ke-80, malang terus menimpa Selangor apabila Amri Yahyah dilayangkan kad merah setelah melakukan terjahan dari belakang ke atas penyerang Negeri Sembilan menyebabkan Selangor terpaksa beraksi dengan sembilan pemain.
Tatkala jentera serangan Selangor terus buntu mencari gol, jentera serangan Negeri Sembilan pula banyak mensia-siakan beberapa peluang keemasan untuk menambah jaringan seterusnya menjadikan kedudukan 3-0 itu kekal sehingga wisel penamat.
Selangor akan bertandang ke Kota Bharu untuk menentang Kelantan pada Isnin ini, bagi perlawanan keempat mereka dalam Kumpulan A.
Pada perlawanan lain malam tadi, Terengganu tewas 1-2 kepada Kelantan di Kuala Terengganu manakala Melaka menewaskan Sarawak 3-0 di gelanggang sendiri.
Ini menjadikan Kumpulan A kini diterajui Negeri Sembilan dengan 7 mata diikuti Kelantan (7), Terengganu (4), Selangor (4), Melaka (3) dan Sarawak (3).
SELANGOR:
22-MEGAT AMIR FAISAL, 26-NASRIQ BAHAROM (17-AMRI YAHYAH), 29-NAZRUL ERWAN MAKMOR, 4-EVANS CHISULO, 15-P.GUNALAN (24-AMIRUL HADI ZAINAL), 8-ELIE AIBOY, 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN (28-SAFIQ RAHIM), 25-SHUKOR ADAN, 11-R.SURENDREN, 9-FRANK SEATOR, 10-SAFEE SALI.
Pemain simpanan tak digunakan:
21-SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 2-ZAIZA ZAINAL ABIDIN, 6-FADZIRUL ZAKARIA, 7-S.SRITHARAN, 18-FADZILIDIN KHALID, 27-ASRARUDDIN PUTRA OMAR.
Kad kuning:
P.GUNALAN (m-9), R.SURENDREN (m-24), R.SURENDREN (m-71), SAFIQ RAHIM (m-83)
Kad merah:
R.SURENDREN (m-71), AMRI YAHYAH (m-80)