24.06.08
Piala Malaysia: Selangor 3-1 Sarawak
Oleh: misai11 (SELANGORFC.COM)
SELANGOR menebus kekecewaan tewas kepada Kedah dalam final Piala FA Sabtu lalu apabila berjaya menewaskan Sarawak 3-1 pada perlawanan Kumpulan A saingan Piala Malaysia 2007/08 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Dengan kehadiran penonton yang dianggarkan hanya kira-kira 300 orang, aksi yang disajikan di tengah padang juga hambar apabila tiada percubaan menarik dari kedua-dua pasukan.
Selangor akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-39 apabila Frank Seator berjaya menanduk masuk bola hantaran lintang pemain pertahanan, Nasriq Baharom dari sebelah kanan untuk menewaskan Azizon Kadir, penjaga gol yang dipinjam Sarawak dari Kuala Muda Naza.
Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Pada babak kedua, Selangor menjarakkan kedudukan 2-0 menerusi gol menarik menerusi rembatan kencang Safee Sali dari luar kotak penalti pada minit ke-66.
Sarawak bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan 2-1 menerusi sepakan penalti Sailfoulaye Camara pada minit ke-85 setelah penyerang import, Piousdinho Evwierhoma James dijatuhkan penjaga gol Selangor, Suffian Abdul Rahman.
Namun, sejurus selepas pengadil keempat menunjukkan papan angka tiga minit masa kecederaan, Akmal Rizal Rakhli berjaya menanduk masuk sepakan penjuru Safiq Rahim untuk gol ketiga Selangor.
SELANGOR:
21-SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 26-NASRIQ BAHAROM (28-SAFIQ RAHIM), 29-NAZRUL ERWAN MAKMOR, 4-EVANS CHISULO, 15-P.GUNALAN, 17-AMRI YAHYAH, 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN, 25-SHUKOR ADAN, 11-R.SURENDREN, 9-FRANK SEATOR (7-S.SRITHARAN), 10-SAFEE SALI (14-AKMAL RIZAL RAKHLI).