Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
12.06.08

Piala Presiden: Kelantan 1-2 Selangor

Oleh: misai11 (SELANGORFC.COM)

SELANGOR memulakan saingan suku akhir Piala Presiden 2008 dengan mencuri tiga mata penuh dari gelanggang lawan apabila menewaskan Kelantan 2-1 di Stadium Sultan Mohd IV, Kota Bharu petang tadi.

Kemenangan itu bagaimanapun tidaklah semudah yang disangka apabila Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang baki 75 minit permainan.

Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkata, Hamdan Hashim, segalanya tampak mudah pada mulanya apabila pemain sayap, Mohd Fitri Shazwan Raduwan membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh.

"Tapi segalanya berubah apabila penyerang Wan Hoesne Wan Hussain dilayangkan kad merah kerana bertindakbalas terhadap provokasi pemain Kelantan pada minit ke-15," katanya ketika dihubungi petang tadi.

Menurut Hamdan, usaha untuk mempertahankan kedudukan 1-0 itu terlerai juga pada penghujung babak pertama apabila Kelantan memperolehi gol pertama menerusi sepakan percuma untuk kedudukan 1-1.

Babak kedua bermula, Kelantan terus melakukan serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol Selangor tetapi mereka tetap gagal menambah jaringan.

"Sebaliknya, pemain gantian, Mohd Aizat Jaini yang mendapat hantaran Syazwan berjaya menanduk masuk gol kemenangan Selangor pada minit ke-71," ujarnya.

Pada satu lagi perlawanan kumpulan yang sama, UPB-MyTeam terikat tanpa jaringan dengan Kuala Muda Naza.

Perlawanan kedua selepas ini menyaksikan Selangor akan bertemu Kuala Muda Naza di Stadium Shah Alam, 4.45 petang Khamis depan.