17.06.08
Razman ganti Chisulo kawal benteng
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
PEMAIN pertahanan Selangor, Razman Roslan bakal menggantikan tugas pemain import Zambia, Evans Chisulo untuk mengekang jentera serangan Terengganu pada aksi separuh akhir kedua Piala FA malam ini.
Razman, 24, akan digandingkan dengan Nasriq Baharom, 21, bagi mengemudi pertahanan tengah Selangor setelah Chisulo dan Indra Putra Mahayuddin digantung satu perlawanan akibat kad kuning kedua pada perlawanan pertama Sabtu lalu.
Bagi pemain berasal dari Sungai Tangkas, Kajang itu, dia berasa gembira dan bersemangat untuk kembali berada dalam kesebelasan utama Selangor setelah berehat hampir tiga bulan kerana kecederaan.
"Saya mengalami koyak ligamen buku lali ketika Selangor menewaskan Perlis 2-0 pada 30 Mac lalu dan terus terlepas lima aksi terakhir Liga Super dan suku akhir Piala FA bertemu Kuala Muda Naza.
"Tapi, saya tetap dalam keadaan bersedia kerana telah turun sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan terakhir bertemu Terengganu pada Rabu dan Sabtu lalu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas perlawanan malam ini, Razman berkata, dia akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin bersama barisan pertahanan yang lain sambil berharap rakan-rakan di bahagian serangan berjaya mendapatkan gol awal.
"Gol awal penting. Kalau kita tewas 0-1, Terengganu akan layak berdasarkan peraturan gol di tempat lawan. Kalau boleh, kita mahu mencatat kemenangan atau sekurang-kurangnya seri pada dalam perlawanan ini," tegasnya.
Selangor dijangka turun dengan hanya seorang pemain import malam ini iaitu Elie Aiboy kerana Frank Seator yang kurang berkesan pada dua aksi sebelum ini bakal diketepikan bagi memberi laluan kepada gandingan Safee Sali dan Amri Yahyah menggempur benteng Terengganu.