Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
09.06.08

Red Giants dapat pengurus baru

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

SETELAH menunggu hampir tiga bulan, skuad bola sepak Liga Super Selangor akhirnya mendapat seorang pengurus baru yang telah dipilih menerusi sesi temuduga bulan lalu.

Siapa individu yang dilantik itu akan diumum secara rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada satu sidang media khas hari ini.

Kosmo! difahamkan jawatan pengurus itu buat pertama kalinya bakal diisi oleh seorang individu yang benar-benar profesional dalam bidang pengurusan, bukannya ahli politik atau korporat seperti kebiasaannya sebelum ini.

Individu berkenaan dikatakan pernah bekerja di sebuah bank terkemuka di Manchester, United Kingdom selama enam tahun sebelum pulang ke tanah air pada tahun 2005 untuk menjadi pengurus sumber manusia di sebuah syarikat swasta di Johor Bahru.

Apa yang menarik, sepanjang berada di Manchester, individu berusia 41 tahun itu turut aktif sebagai penolong pengurus sebuah pasukan bola sepak yang beraksi dalam Sunday League di sana selain membimbing pasukan majikannya.

Berbekalkan kemahiran pengurusan pasukan, pengalaman mengurus sumber manusia dan pendedahan hidup di negara yang maju dalam bola sepak, individu itu bakal menjadi 'Alex Ferguson' pertama dalam Liga Malaysia.

Biarpun pelantikannya belum diumum secara rasmi, kelibat individu yang berperanan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) bagi pasukan Selangor itu sudah dilihat berada di bangku pemain simpanan sewaktu perlawanan persahabatan dengan Tentera dan Pahang minggu lalu.

Sebelum ini, jawatan pengurus pasukan Selangor kosong setelah Datuk Satim Diman meletakkan jawatannya pada 18 Mac lalu selepas mengambil alih tugas itu pada musim 2004 menggantikan Datuk Mokhtar Ahmad.

Keputusan itu dibuat selepas Menteri Besar Selangor yang baru, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara automatik dilantik sebagai Presiden FAS menggantikan Datuk Seri Dr. Khir Toyo.