Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
11.06.08

Red Giants tanpa Safee

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

PENYERANG kebangsaan, Safee Sali berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan dalam kesebelasan Selangor pada aksi sulung Kumpulan A saingan Piala Malaysia bertemu Terengganu di Kuala Terengganu malam ini.

Safee, 24, yang kembali menyertai latihan petang kelmarin selepas beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia di Surabaya Jumaat lalu mengalami demam serta kecederaan hamstring.

"Sejak pulang dari Indonesia Sabtu lalu, saya tak berapa sihat, demam dan batuk. Kecergasan juga tak 100 peratus dan mungkin hanya boleh turun sebagai pemain gantian," katanya ketika dihubungi Kosmo! petang semalam.

Meskipun Safee turut menyertai skuad Selangor yang tiba di Kuala Terengganu petang semalam, jurulatih Dollah Salleh dijangka menggandingkan Akmal Rizal Rakhli dan Frank Seator untuk menggempur pertahanan Terengganu.

"Kalau tak dapat beraksi sekali pun, perlawanan esok (malam ini) boleh dijadikan panduan untuk saya melihat corak permainan lawan kerana Selangor akan bertemu lagi Terengganu untuk separuh akhir Piala FA Sabtu ini dan Selasa depan," jelasnya.

Dalam pada itu, Safee yang meminati pasukan Portugal memberitahu, aksi pemain-pemain handalan yang kini beraksi dalam Euro 2008 akan dijadikan panduan dan idea untuk diaplikasikannya dalam saingan bola sepak tempatan.

"Menonton aksi Euro bagus bagi pemain seperti kami bagi mencari ilham apabila turun beraksi. Selain itu, harap juga Selangor menang malam ini sebagai hadiah sulung buat pengurus baru kami (Zakaria Ab. Rahim)," ujar Safee.