Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
16.06.08

Selangor anggap kelebihan tipis

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

BIARPUN berjaya menewaskan Terengganu 2-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam kelmarin, ia dianggap satu kelebihan tipis bagi Selangor menghadapi perlawanan kedua malam esok.

Pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata, pasukannya perlu menjaringkan gol awal pada aksi kedua di Kuala Terengganu itu nanti atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri bagi melayakkan diri ke pentas akhir Piala FA, Sabtu ini.

"Walaupun kelebihan satu gol ini tipis, kita yakin boleh mengatasi mereka. Harap pemain Selangor dapat meningkatkan prestasi menjelang perlawanan kedua (esok)," katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, Selangor bangkit menerusi jaringan Shukor Adan pada minit ke-68 dan Safee Sali (88) selepas Ashari Shamsuddin meletakkan Terengganu di hadapan pada minit ke-25.

Bagi perlawanan kedua itu nanti, Selangor tidak dapat menurunkan Evans Chisulo dan Indra Putra Mahayuddin yang digantung satu perlawanan selepas mengutip kad kuning kedua malam kelmarin.

"Walaupun kehilangan Chisulo dan Indra, kita tetap mempunyai barisan simpanan yang lebih kurang sama kemampuan mereka. Saya harap penyokong Selangor juga mendoakan kemaraan kita ke final Piala FA," ujarnya.

Zakaria, 41, turut melahirkan rasa gembiranya kerana kemenangan itu merupakan yang pertama bagi dirinya sejak dilantik sebagai pengurus baru pasukan Selangor berkuat kuasa 1 Jun lalu.

"Aksi babak pertama kurang memberangsangkan dan pada waktu rehat para pemain telah diberi kata-kata semangat. Mereka telah buktikan pada babak kedua apabila corak permainan kita berubah," katanya.

Sementara itu, jurulatih Sela-ngor, Dollah Salleh turut mengakui aksi pemainnya agak hambar terutama pada separuh masa pertama.

"Pada babak pertama, mereka (pemain) nampak keletihan. Namun apabila mereka sudah dapat menyesuaikan diri, barulah nampak corak permainan kembali baik," katanya.

Dollah bagaimanapun tetap bimbang memikirkan pengganti Chisulo pada perlawanan kedua nanti sama ada dia mahu mempertaruhkan Zaiza Zainal Abidin, Fadzirul Zakaria atau Razman Roslan untuk bergandingan dengan Nasriq Baharom.