10.06.08
Siapakah Zakaria Ab. Rahim?
Oleh: misai11 (SELANGORFC.COM)
ANDAI disebut nama Zakaria Ab. Rahim (gambar) sebelum ini, pasti tiada siapa mengenalinya dan menganggap beliau hanyalah orang biasa di kalangan peminat-peminat bola sepak tempatan.
Namun, bermula semalam (9 Jun 2008), nama Zakaria Ab. Rahim pasti sudah mula dikenali terutama di kalangan penyokong Red Giants kerana beliau kini sah dilantik sebagai Pengurus Pasukan Bola Sepak Selangor yang baru.
Kontraknya sebagai pengurus adalah selama dua tahun iaitu dari 1 Jun 2008 hingga 1 Jun 2010, satu tempoh yang dianggap realistik untuk beliau membuktikan sesuatu di atas pelantikannya itu.
Zakaria mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Satim Diman yang mengurus pasukan Selangor sejak musim 2004 sehinggalah beliau meletak jawatan pada 18 Mac 2008.
Bagi mengenali lebih mendalam siapakah Zakaria Ab. Rahim yang sebenarnya, SELANGORFC.COM membawakan serba sedikit maklumat mengenai beliau yang sempat dikupas sewaktu pertemuan selepas sidang media pengenalan pengurus baru Selangor di Wisma FAS, Kelana Jaya semalam (9 Jun 2008).
SFC: Serba sedikit latar belakang diri anda?
Z: Saya dilahirkan di Keramat dan kini berusia 41 tahun. Saya anak kedua daripada enam beradik. Ayah saya seorang guru dan ibu saya tidak bekerja. Saya bersekolah di Selangor, masuk universiti pun di Selangor (UiTM Shah Alam).
Saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak iaitu Izzah Batrisya berusia 6 tahun. Isteri saya, Dr. Norhasni Zainal Abidin, 33, merupakan seorang pensyarah di Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, Serdang. Saya kini menetap di Desa Pandan.
SFC: Anda dan bola sepak?
Z: Saya sebenarnya memang sayang pasukan Selangor. Sejak kecil, saya dan adik beradik lain merupakan penyokong setia Selangor. Saya pernah main Selangor untuk pasukan bawah 12, bawah 18 dan bawah 21. Kemudian ketika pemilihan 30 pemain untuk masuk pasukan utama Selangor, saya terpaksa melupakan hasrat menjadi pemain bola sepak kerana perlu memilih bola sepak atau pelajaran. Saya pilih pelajaran dan menyambung pengajian di UiTM Shah Alam.
Saya juga pernah bermain dengan Proton FC dalam Liga Dunhill KL dan juga pernah beraksi dan dalam masa sama menguruskan kelab amatur, Senior BWT dalam Sunday League ketika saya bekerja di Manchester, United Kingdom.
Saya beraksi di posisi penyerang dan juga sayap kanan. Idola saya ialah Mokhtar Dahari dan pasukan kelab luar kesukaan saya ialah Liverpool.
SFC: Bagaimana anda mula-mula terdetik untuk memohon jawatan ini?
Z: Disebabkan tidak tercapai hajat menjadi pemain bola sepak skuad utama Selangor dulu, jadi apabila saya mengetahui ada iklan jawatan kosong pengurus Selangor, saya terus memohon dan melalui prosedur biasa seperti calon-calon lain.
Saya difahamkan seramai 36 calon telah memohon dan hanya lapan calon dipanggil untuk temuduga termasuklah saya. Ketika temuduga, saya kemukakanlah kertas cadangan saya dan alhamdulillah ia berjaya memikat hati panel pemilihan FAS.
SFC: Boleh cerita serba sedikit latar belakang kerjaya anda?
Z: Saya mulanya bekerja di Bank Bumiputra sebelum berhijrah ke Manchester untuk bekerja dengan Barclays Bank selama enam tahun. Sewaktu di sana, saya juga sempat memperolehi Master dalam Komunikasi Korporat dari University of Manchester.
Pada 2005 saya kembali ke tanah air dan jawatan terakhir saya ialah sebagai pengurus sumber manusia di Malaysian Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. di Johor Bahru.
SFC: Apakah peranan anda nanti sebagai pengurus pasukan Selangor?
Z: Saya akan menguruskan bukan saja skuad utama Selangor, malah skuad Piala Presiden (B21), skuad Piala Belia (B19) dan juga akademi Selangor. Jawatan pengurus ini adalah buat pertama kalinya sepenuh masa kerana pengurus-pengurus sebelum ini adalah secara sukarela dan tidak sepenuh masa.
SFC: Apakah sasaran dan matlamat anda?
Z: Saya mempunyai perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang. Untuk masa terdekat ini, saya mahu Selangor membawa pulang Piala FA dan Piala Malaysia dalam baki musim 2007/08 ini.
Tapi sasaran utama adalah untuk musim depan. Saya juga mahu Selangor beraksi dalam Piala AFC tahun depan (kena menang Piala FA musim ini untuk layak).
Selain itu, saya mahu Selangor menjadi pembekal utama pemain-pemain untuk skuad kebangsaan. Jadi penilaian Malaysia ketika ini di tahap D oleh AFC mungkin boleh meningkat ke tahap A sekali gus melayakkan pasukan-pasukan dari Malaysia menyertai Liga Juara-Juara Asia.
Saya juga berhasrat untuk melahirkan beberapa pemain berkualiti dari skuad Selangor untuk dibawa beraksi dengan kelab-kelab Eropah.
SFC: Adakah penglibatan anda sebagai pengurus Selangor ini merupakan langkah awal untuk memasuki pentadbiran FAM?
Z: Ya boleh jadi. Saya memang mempunyai impian untuk menguruskan skuad kebangsaan suatu hari nanti.
SFC: Bagaimana tentang tanggapan tinggi orang ramai terhadap anda apabila mengambil alih pengurusan skuad Selangor ini?
Z: Kalau saya datang sebagai Alex Ferguson atau Jose Mourinho, sudah tentu tanggapan orang kepada saya amat tinggi. Tapi saya bukan sesiapa pun, bukan ahli politik dan bukan juga ahli korporat. Jadi, saya yakin dapat melaksanakan tugas ini dengan baik.
SFC: Harapan anda apabila kini menjadi pengurus Selangor?
Z: Insya-Allah dengan sokongan semua termasuk para peminat, pemain dan pentadbiran FAS, saya akan cuba membawa pasukan Selangor ke dimensi baru iaitu profesional sepenuhnya.
Jadi, sebagai seorang pengurus sepenuh masa yang dibayar gaji, jika pasukan tidak beraksi dengan baik, saya boleh ditendang keluar dari jawatan ini. Oleh itu saya perlukan sokongan semua untuk sama-sama membawa Selangor ke mercu kegemilangan.