Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
27.06.08

Sritharan sedia pegang peranan supersub

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

SETELAH lama tidak beraksi, penyerang muda Selangor, S. Sritharan kini sudah bersedia memikul tugas selaku supersub dalam saingan Piala Malaysia bermula dengan aksi bertemu Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam malam ini.

Sritharan kembali bersemangat setelah diturunkan buat pertama kali musim ini apabila masuk menggantikan Frank Seator pada minit ke-85 ketika Selangor menewaskan Sarawak 3-1 Selasa lalu.

"Sepanjang Liga Super saya tidak beraksi langsung dan sekadar memanaskan bangku simpanan kerana sering saja mengalami kecederaan kecil kesan pembedahan lutut ACL tahun lalu.

"Selepas diberi peluang beraksi Selasa lalu, saya rasa bersemangat semula serta teruja untuk terus mempamerkan aksi terbaik. Kini saya bersedia untuk menjadi supersub pasukan Selangor," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kudrat Sritharan wajar digunakan sepenuhnya jurulatih Selangor, Dollah Salleh memandangkan jadual Piala Malaysia yang ketat dengan satu perlawanan pada setiap selang tiga hari.

"Kalau boleh, saya mahu diberi lebih peluang beraksi. Kalau banyak kali main, keyakinan kita akan bertambah selain dapat mengembalikan sentuhan gol," ujar penjaring terbanyak skuad Piala Presiden Selangor bagi musim 2005 itu.

Sritharan mula diserapkan ke skuad utama Selangor pada musim 2005/06 sebagai supersub tetapi selepas itu, dia hanya beraksi dua perlawanan pada musim 2006/07 kerana mengalami kecederaan lutut dan seterusnya menjalani pembedahan.

"Jika diturunkan esok (malam ini), saya berhasrat menjaringkan gol pertama musim ini sekali gus memastikan Selangor menang ke atas Negeri Sembilan yang telah menewaskan kita 3-0 pada perlawanan terakhir Liga Super awal bulan lalu," katanya.