Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
19.06.08

Strategi skuad Red Giants bawa hasil

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

STRATEGI Selangor menukar posisi beberapa pemainnya pada aksi separuh akhir kedua Piala FA kelmarin nyata membuahkan hasil apabila ia berjaya memerangkap Terengganu.

Hasilnya, pasukan tuan rumah itu gagal menyaingi kehebatan Selangor dan keputusan seri 1-1 sudah cukup untuk Red Giants mara ke perlawanan akhir menerusi agregat 3-2.

Pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata, susunan kesebelasan pasukannya malam kelmarin tampak berkesan apabila Terengganu gagal menguasai perlawanan biarpun beraksi di gelanggang keramat mereka.

"Jika sebelum ini mereka tahu Frank Seator pasti akan diturunkan sebagai penyerang, tapi sebaliknya kita letak Safee Sali bergandingan dengan Amri di bahagian serangan.

"Amirul Hadi Zainal yang biasanya bermain di bahagian sayap pula kita letak bergandingan dengan Shukor Adan di bahagian tengah. Percaturan ini membuahkan hasil," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Zakaria, keputusan seri itu tidaklah menggambarkan kekuatan Selangor yang sebenarnya tetapi percaturan yang dilakukan berkesan.

Apa yang lebih mengembirakan Zakaria, kejayaan mara ke final Piala FA itu turut membolehkan Selangor mengesahkan tiket mewakili negara ke Piala AFC 2009.

"Kedah sudah layak selaku juara Liga Super. Jika kita tewas dalam final Piala FA sekali pun, kita layak juga sebagai wakil kedua iaitu selaku naib juara Piala FA.

"Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd. Amin sendiri sudah mendapatkan pengesahan tentang perkara ini daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," ujarnya.