05.06.08
Sukma: Hamidin kecewa tindakan pengadil
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
KEPUTUSAN pengadil telah mematikan langkah Selangor.
Demikian jelas pengurus skuad bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) XII Selangor, Hamidin Mohd. Amin selepas pasukannya tersingkir pada saingan suku akhir kelmarin.
Mereka tewas 0-2 kepada Perlis dan Hamidin menyifatkan keputusan pengadil menjadi penyumbang kepada kekalahan itu.
Menurutnya, keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kontroversi pada minit ke-65 ketika kedua-dua pasukan masih terikat tanpa jaringan telah membunuh semangat pemainnya.
"Tak sepatutnya penalti. Insiden berlaku betul-betul di penghujung tepi kotak penalti di mana Nasriq (Baharom) ketika sedang berebut bola dengan pemain Perlis.
"Lagipun bola bukan menuju ke arah gol, tapi ke arah penjuru padang dan ia tidak boleh mendatangkan gol pun. Tapi setelah berbincang dengan penjaga garisan, pengadil buat keputusan untuk memberi sepakan penalti," katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, tidak cukup dengan itu, pemainnya yang berang dengan keputusan itu telah mengerumuni pengadil dan penjaga garisan lantas mengakibatkan penyerang Selangor, Alafi Mahmud dilayangkan kad merah.
"Selepas perlawanan, pegawai FAM maklumkan kepada saya yang Alafi diberi kad merah kerana didakwa menolak penjaga garisan.
"Tapi saya difahamkan, kekasaran itu dilakukan Safiq (Rahim) tapi pengadil beri kad merah kepada Alafi pula. Ia telah menyebabkan jentera serangan kita terjejas," jelasnya.
Sepakan penalti Perlis disempurnakan Wan Khairul Faiz Kamaruddin pada minit ke-69 sebelum Mohd. Syazwan Zainon menjaringkan gol kedua pasukannya pada minit ke-80.
"Walaupun gagal ke perlawanan akhir, saya tetap anggap pasukan ini adalah barisan terbaik Selangor. Kita berjaya menewaskan Kelantan (3-0), Sabah (2-0) dan Kedah (1-0) pada saingan peringkat kumpulan.
"Cuma kita kurang bernasib baik pada aksi suku akhir semalam (kelmarin) sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir dan seterusnya final," katanya.