03.06.08
Sukma: Selangor mahu sekat Perlis
Oleh: KOSMO!
SELANGOR berazam untuk menyingkirkan Perlis pada saingan suku akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) XII yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu hari ini.
Pengurus pasukan, Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya sudah mengatur strategi bagi mematikan langkah Perlis pada perlawanan itu kelak.
"Kami telah memantau gaya permainan Perlis bagi membantu kami merangka strategi tertentu untuk menyekat mereka," katanya.
Menurutnya, segala maklumat sedang dinilai serta dikaji bagi mengatur strategi untuk mengekang pasukan lawan yang beraksi cemerlang ketika menyingkirkan Negeri Sembilan pada perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini.
"Selain menghantar perisik, saya sendiri turut melihat perlawanan melibatkan pasukan Perlis sebelum ini.
"Kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka dan perlu berhati-hati," katanya.
Hamidin berkata, dia turut memberi peringatan kepada jurulatih Selangor, Dollah Salleh dan pemain supaya bekerja keras kerana kelekaan dan kesilapan boleh mengundang padah pada saingan kalah mati ini.
Mengenai pasukan Perlis, Hamidin berkata, pasukan lawan memiliki semangat juang yang tinggi serta mempamerkan permainan yang bagus.
"Pemain telah diingatkan supaya bermain bersungguh-sungguh, kerana ia adalah perlawanan penentuan," katanya.
Selangor melepasi laluan pusingan pertama setelah mencatatkan kemenangan ke atas Kelantan 3-0, Sabah 2-0 dan Kedah 1-0 pada saingan peringkat kumpulan B.
Skuad Selangor diperkuatkan oleh pemain berpengalaman yang beraksi dalam saingan Liga Super termasuk Zaiza Zainal Abidin, penjaga gol, Nuraizat Aziz, Fadzirul Zakaria, Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim, Fazilidin Khalid, Nasriq Baharom dan Wan Hoesne Wan Hussain.
Untuk rekod, kali terakhir Selangor meraih emas acara bola sepak adalah ketika mereka menjadi tuan rumah pada edisi Sukma 1998.
Selain itu, beberapa pemain dari skuad Liga Perdana PKNS turut diserapkan dalam skuad ini seperti Alafi, Fairul Nizwan Nasir, Aizul Ridzwan Razali, Adib Azuddin Latif serta Sazali Suwandi dan Fazli Baharuddin.