Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
03.06.08

Suku akhir Sukma: Selangor 0-2 Perlis

Oleh: misai11 (SELANGORFC.COM)

HASRAT Selangor untuk menamatkan kemarau 10 tahun tanpa pingat emas acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) tertangguh lagi setelah tewas 0-2 kepada Perlis pada perlawanan suku akhir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Kecemerlangan mengutip sembilan mata maksimum pada peringkat kumpulan ditambah pula reputasi tanpa bolos dalam tiga perlawanan awal itu sedikit pun tidak memberi tuah buat Selangor pada aksi bertemu Perlis itu.

Sebaliknya, malang pula yang menimpa apabila Selangor terpaksa beraksi 10 pemain pada baki 25 minit terakhir selepas penyerang Alafi Mahmud dilayangkan kad merah pada minit ke-65.

Kesempatan itu dipergunakan sepenuhnya oleh Perlis yang berjaya memperolehi dua gol selepas itu menerusi jaringan Wan Khairul Faiz Kamaruddin (m-69) dan Mohd. Syazwan Zainon (m-80).

Dengan kekalahan itu, sasaran awal pengurusan Selangor untuk sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir Sukma XII gagal terlaksana sekali gus memaksa mereka menunggu Sukma XIII di Melaka pada 2010.

Sementara itu, saingan separuh akhir pada Khamis ini bakal mempertemukan dua finalis Sukma 2006, Terengganu dan Kedah manakala Pulau Pinang pula bakal bertemu Perlis bagi merebut dua slot ke perlawanan akhir pada Ahad ini.