Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
10.06.08

Zakaria pengurus baru Red Giants

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) melantik Zakaria Ab. Rahim sebagai pengurus pasukan Selangor yang baru dengan ikatan kontrak selama dua tahun berkuatkuasa 1 Jun lalu.

Pengumuman tersebut dibuat Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad pada satu sidang media khas semalam yang turut dihadiri Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd. Amin, Bendahari FAS, S. Sivasundram serta jurulatih Selangor, Dollah Salleh.

"Sehingga tarikh tutup pada 30 April lalu, FAS menerima sebanyak 36 permohonan. Hanya lapan dipanggil untuk temuduga akhir dan Zakaria telah terpilih sebagai pengurus pasukan," katanya pada sidang media di Wisma FAS, Kelana Jaya itu.

Zakaria, 41, yang berasal dari Keramat bukan saja akan menjadi pengurus pasukan utama Selangor malah turut akan berperanan menguruskan skuad Piala Presiden (B21) dan skuad Piala Belia (B19) Selangor.

Ketika ditemui pemberita selepas sidang media itu, anak kedua daripada enam beradik itu berkata, dia sememangnya penyokong setia Selangor sejak kecil dan peluang mengurus pasukan itu tidak harus dipersiakan.

"Saya sangat sayang Selangor. Itu sebab apabila dibuka jawatan ini, saya sanggup melalui segala proses permohonan dan mengambil cabaran.

"Alhamdulillah, saya dipilih dan insya-Allah dengan sokongan semua, saya akan bawa pasukan Selangor ke satu dimensi baru menuju tahap profesional sepenuhnya."