10.06.08
Zakaria tekad julang Selangor
Oleh: Lokman Zainal Abidin (HARIAN METRO)
VISINYA ialah untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak terutamanya di Selangor dan atas dasar itulah, Zakaria Ab Rahim berani mengambil risiko untuk berhenti kerja semata-mata untuk membabitkan diri secara sepenuh masa di dalam arena bola sepak.
Pelantikan Zakaria, 41, sebagai pengurus bola sepak yang baru bagi skuad Selangor mencatat sejarah baru dalam lembaran bola sepak tanah air apabila beliau adalah pengurus pertama bekerja secara sepenuh masa.
Sebelum ini, semua pengurus pasukan bola sepak di negara ini dilantik daripada kalangan ahli politik atau ahli perniagaan dan bertugas secara sambilan tetapi Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mahukan seorang pengurus yang dapat bersama pada setiap masa.
Atas dasar itulah, FAS melantik Zakaria dan empat visi utama akan dijadikan landasan kepada tugas besarnya itu ialah berkaitan dengan pemain, pengurusan, infrastruktur dan penyokong.
“Saya mahu memastikan pemain Selangor mendapat pendedahan yang sepatutnya. Sasaran saya ialah untuk menghantar dua pemain negeri ini beraksi bersama kelab di Eropah. Kami juga mahu mensasarkan supaya sekurang-kurangnya lapan pemain negeri ini berada di dalam skuad kebangsaan.
“Untuk pengurusan, saya akan cuba mengubah sistem sedia ada dan mewujudkan program pembangunan lebih mantap. Saya juga akan mencadangkan kepada pucuk pimpinan FAS untuk mewujudkan infrastruktur lebih baik kepada pemain termasuk pengangkutan, tempat latihan dan pakaian serta rumah kelab.
“Bagi penyokong, saya akan mewujudkan lebih banyak sesi ramah mesra bersama mereka kerana penyokong memainkan peranan penting dalam menentukan jatuh bangun setiap pasukan,” kata Zakaria yang pernah bergelar pengurus kepada sebuah kelab bola sepak di Manchester, Barclays Bank.
Zakaria dilantik FAS secara kontrak selama dua tahun mulai 1 Jun lalu dan tugasan pertamanya ialah membawa Selangor untuk bertemu Terengganu di tempat lawan pada saingan Piala Malaysia, esok.
“Saya harap tugasan pertama ini akan membawa hasil yang diharapkan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin berharap semua pihak supaya menghormati keputusan yang sudah diambil pucuk pimpinan persatuan dan memberikan kerjasama kepada Zakaria.