30.07.08
Aksi akhir di Shah Alam
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
PERLAWANAN akhir saingan bola sepak Piala Presiden 2007/08 yang menemukan Selangor dan Perak akan dilangsungkan Jumaat ini di Stadium Shah Alam pada pukul 8.45 malam.
Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamdan Hashim selaku koordinator pasukan bawah 21 tahun Selangor berkata pihaknya telah menerima pengesahan tersebut daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.
"Mengikut jadual asal, perlawanan akhir sepatutnya pada 31 Julai (Khamis) tetapi mengikut surat yang kami baru terima ini, perlawanan akan berlangsung pada 1 Ogos (Jumaat)," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Hamdan, penyokong kedua-dua pasukan juga berpeluang menyaksikan perlawanan akhir kejohanan bagi pemain-pemain bawah 21 tahun itu secara percuma kerana tiada sebarang bayaran akan dikenakan.
"Bagi pasukan Selangor, kami kini sedang menggiatkan sesi latihan setiap petang di Padang FAS, Kelana Jaya. Kami mahu merangkul kejuaraan kerana kali terakhir memenangi Piala Presiden adalah pada tahun 1998," jelasnya.
Selangor melangkah ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan Terengganu 3-2 menerusi sepakan penalti setelah terikat dengan agregat 3-3 manakala Perak mengetepikan UPB-MyTeam dengan agregat 6-1 pada pusingan separuh akhir.
Selangor musim ini dibimbing jurulatih P. Maniam sementara Perak pula dilatih oleh Chong Yee Fat.
Pada saingan Piala Presiden musim lalu, Perak muncul juara apabila menewaskan Kelantan 5-4 menerusi sepakan penalti setelah terikat 3-3 pada masa sebenar dan masa tambahan dalam perlawanan akhir di Stadium Perak, Ipoh.