Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.07.08

Dendam berbalas

Oleh: Alias Abd Rani (HARIAN METRO)

BADI kekalahan dua kali berturut-turut ke atas Pilihan Singapura akhirnya terbalas di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan 4-3 menerusi sepakan penalti sudah cukup buat Pilihan Selangor bergembira menjulang Piala Sultan Selangor edisi 2008.

Kejayaan itu mengulangi zaman kegemilangan Gergasi Merah pada 2005 walaupun ketika itu skuad bimbingan Dollah Salleh menang 3-1.

Aksi cemerlang jelas ditunjukkan tuan rumah bagi memastikan piala berprestij itu pulang ke pangkuan Selangor selepas dikecewakan pada kejohanan sama dua tahun lalu.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 sebaik perlawanan tamat dan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti namun ketangkasan penjaga gol, Mohd Suffian Abd Rahman menidakkan tendangan kelima Singapura ternyata menggembirakan lebih 60,000 penyokong Merah Kuning yang begitu sabar menanti sejak jam 7 malam lagi.

Walaupun menang menerusi sepakan penalti, ia dilihat begitu berharga buat Selangor yang selama ini dicerca ekoran prestasi terumbang-ambing selain mengembalikan keyakinan terhadap skuad yang suatu ketika cukup tersohor.

"Saya terperanjat dengan persembahan pemain walaupun ketinggalan seawal minit pertama. Pemain cuba memberikan satu persembahan menarik dengan bantuan penyokong.

"Memang diketahui, Pilihan Selangor yang diturunkan adalah yang terbaik. Saya mengingatkan mereka supaya bekerja keras kerana perlawanan ini begitu penting buat pasukan ini.

"Kalau melihat kepada jaringan pertama Pilihan Singapura, saya terkejut dan menyangka pemain akan tertekan. Tapi lain pula jadinya apabila mereka bekerja keras untuk memastikan kemenangan itu," katanya.

Pilihan Singapura mengejutkan tuan rumah seawal minit pertama menerusi jaringan Okayama Tatsuya yang menerima hantaran Aleksandar Duric berikutan kesilapan pertahan Selangor.

Pilihan Selangor terpaksa menunggu sehingga m-33 bagi menyamakan kedudukan melalui Mohd Safee Sali. Selangor kembali di depan menerusi Mohd Safee namun jaringan penyamaan Singapura m-80 mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Sementara itu, nasib berlainan menimpa skuad Veteran Selangor apabila gagal merampas kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut selepas tunduk 8-7 juga menerusi sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1.