12.07.08
Dendam Selangor
Oleh: Alias Abd Rani (HARIAN METRO)
PADA perlawanan pusingan pertama peringkat Kumpulan A saingan Piala Malaysia, hujung bulan lalu, Selangor menerima musibah di gelanggang sendiri apabila dibelasah 0-3 oleh Negeri Sembilan.
Sejak itulah, prestasi semasa Selangor mula dipertikaikan pelbagai pihak namun kunjungan ke Paroi, malam ini bukan setakat menebus kehampaan malah memastikan badi kekalahan ke atas skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan terbalas.
Berbekalkan kemenangan tiga kali berturut-turut sejak kebelakangan ini termasuk merampas kembali Piala Sultan Selangor 2008 pasti membuatkan Negeri Sembilan terkedu seketika.
Bagi jurulatih Dollah Salleh, beliau hanya mempertaruhkan semangat pemain bagi merangkul tiga mata penuh selepas mengambil kira kemenangan dalam beberapa perlawanan lalu.
"Bagi saya, semangat pemain penting dalam perlawanan itu. Apa yang dilakukan sejak perlawanan lalu, di situlah banyak membantu kemenangan kami.
"Walaupun berdepan kepenatan, pemain saya tetap menunjukkan semangat juang tinggi dan akan memastikan kemenangan di bawa pulang," katanya.