05.07.08
Dilema Dollah
Oleh: Alias Abd Rani (HARIAN METRO)
KEMENANGAN besar ke atas Melaka pada saingan Piala Malaysia malam kelmarin belum menjamin keselesaan buat Selangor untuk mengekalkan posisi sebagai pasukan terbaik musim ini.
Apa yang diluahkan jurulatih, Dollah Salleh sebaik kemenangan dicapai dilihat sebagai perangsang buat pemain bagi membuktikan skuad Gergasi Merah berada pada landasan terbaik.
"Kami berdepan situasi sukar musim ini terutamanya membabitkan jadual perlawanan yang padat.
"Tapi, pemain sudah faham walaupun kepenatan bagi membuktikan skuad ini tidaklah seperti yang disangkakan. Cuma penekanan saya ialah di bahagian pertahanan kerana masih banyak kesilapan dilakukan pemain.
"Saya melihat ada perubahan dalam corak permainan hingga membuatkan saya kagum dengan aksi mereka," katanya.
Mengenai pertemuan pusingan kedua peringkat Kumpulan A menentang Sarawak di Kuching, Rabu ini, Dollah masih berkira-kira siapa bakal membarisi kesebelasan utama.
"Kecederaan dan selain ada yang melapor diri bersama skuad kebangsaan ternyata mengehadkan jumlah yang ada.
"Barangkali, pemain Piala Presiden menjadi taruhan jika keadaan terdesak. Tapi, saya belum buat keputusan muktamad lagi mengenai siapa pemain itu," katanya.
Antara pemain Selangor yang terbabit dengan perlawanan persahabatan menentang skuad senior Olimpik China ialah Amirul Hadi Zainal, Mohd Nasriq Baharom dan Safiq Rahim dan semua dijangka akan melapor diri Isnin ini.
Dalam pada itu Presiden Penyokong Kelab Bolasepak Zorro-Wirro, Khaidzir Ishak Ubah, menyeru penyokong Selangor supaya bersabar dan tetap setia menyokong pasukan.
"Berdasarkan kemenangan besar 5-2 ke atas Melaka, membuktikan barisan Selangor masih mampu beraksi cemerlang untuk menempah tempat ke suku akhir Piala Malaysia," katanya.