Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
08.07.08

Dollah panggil tiga pemain muda

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

JURULATIH Selangor, Dollah Salleh terpaksa memanggil tiga pemain skuad Piala Presiden iaitu Lukhman Noor Hakim Jaafar, Fauzan Dzulkifli dan Fitri Shazwan Raduwan bagi menghadapi Sarawak pada aksi Piala Malaysia di gelanggang lawan esok.

Ia berikutan empat pemain mudanya, Nasriq Baharom, Safiq Rahim, Asraruddin Putra Omar dan Amirul Hadi Zainal kini menyertai latihan skuad bawah 23 tahun kebangsaan untuk perlawanan persahabatan menentang China Ahad ini.

"Kecuali Amirul (22 tahun), Nasriq, Safiq dan Asraruddin merupakan pemain yang sering saya gunakan untuk slot bawah 21 tahun yang perlu ada dalam kesebelasan utama.

"Jadi, saya tiada pilihan dan terpaksa memanggil seorang penyerang (Lukhman), pemain tengah (Fauzan) dan pemain sayap (Fitri). Tapi besar kemungkinan Fauzan akan diturunkan berganding dengan Shukor Adan," katanya selepas perlawanan kelmarin.

Kelmarin, Selangor muncul juara Piala Sultan Selangor 2008 selepas menundukkan Singapura 4-3 menerusi sepakan penalti setelah perlawanan terikat 2-2 hasil dua jaringan daripada Safee Sali.

Dollah bagaimanapun nyata terperanjat apabila melihat pemainnya kembali bangkit meskipun telah ketinggalan 0-1 seawal minit pertama lagi.

"Bila Singapura dapat gol awal, memang saya agak tersentak. Tapi semua pemain telah memberikan 120 peratus komitmen terutama gandingan mantap Safee dan Frank Seator," katanya.

Jelas Dollah, Selangor sepatutnya mampu menang pada masa sebenar permainan tetapi kegagalan mereka memanfaatkan beberapa peluang keemasan memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.