07.07.08
Giliran Merah Kuning pula gah
Oleh: Mohd. Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)
SELANGOR menjuarai Piala Sultan Selangor 2008 selepas menewaskan Pilihan Singapura 4-3 menerusi sepakan penalti, bagi menghalang pelawat daripada mencipta hatrik kejuaraan di Stadium Shah Alam malam tadi.
Singapura hanya memerlukan seminit untuk membuka tirai jaringan menerusi Okayama Tatsuya, gol berpunca daripada kesilapan pertahanan Selangor yang gagal mengeluarkan bola umpanan Alexander Duric dalam kawasan sendiri.
Tersentak dengan jaringan itu, Selangor mula mengatur serangan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi Nazrulerwan Makmor pada minit kelapan namun tampanannya selepas menerima umpanan Elie Aiboy sedikit tersasar.
Selangor sekali lagi kecewa. Kali ini percubaan kapten pasukan Shukor Adan pada minit ke-13, terus ke dakapan penjaga gol pelawat, Lionel Lewis.
Elie sekali lagi menjadi pengancam Singapura apabila melakukan hantaran silang yang disambut baik Safee Sali pada minit ke-25, namun rembatan penyerang itu terkena palang gol kanan.
Usaha Selangor untuk menyamakan kedudukan akhirnya berhasil pada minit ke-34, apabila Frank Seator bijak melakukan umpanan tepat kepada Safee yang kemudian meledakkan rembatan kencang yang gagal diselamatkan Lionel.
Selangor meneruskan penguasaan pada babak kedua dan dominasi tuan rumah berterusan dengan kemasukan pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-56 menggantikan D Surendran, membolehkan ‘Merah Kuning' menguasai bahagian tengah.
Hantaran cantik Indra pada minit ke-61 membolehkan Selangor mendahului apabila ia disambut dengan sepakan gunting bagi menewaskan Lionel.
Singapura kemudian mula bangkit dan pemain gantian Ashrin Shariff berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-80 selepas menyambut hantaran Kaza Gizcard dan kedudukan terikat sehingga tamat permainan sehingga terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.
Tuan rumah memastikan kejuaraan apabila penjaga gol, Suffian Abdul Rahman menyelamatkan sepakan penalti Shahril Ishak untuk membolehkan Selangor menang 4-3.
Terdahulu dalam perlawanan pembuka tirai, Veteran Singapura menewaskan Veteran Selangor 8-7 menerusi sepakan penalti selepas kedudukan terikat 2-2.