18.07.08
Jamsari ubah haluan hidup selepas bersara
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
BEKAS penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian kini telah mengubah haluan hidupnya.
Jamsari, 30, yang membantu Selangor meraih tiga piala pada 2005 terpaksa bersara terus daripada bola sepak selepas beraksi dengan Proton FC musim ini atas nasihat doktor ekoran masalah kesihatan.
Kini, Jamsari yang menguruskan NZ Sports Enterprise bersama dua rakan kongsinya mengorak langkah menganjurkan kejohanan futsal mingguan yang dinamakan 'Weekly Futsal Night Challenge' yang akan bermula Selasa ini.
"Tiga venue sudah dipilih iaitu kejohanan setiap Selasa diadakan di Sports Planet Kajang, setiap Rabu di ISF Seksyen 16, Shah Alam dan setiap Ahad di Safira Sports Planet Seberang Perai.
"Kejohanan ini akan dimulakan pada 22, 23 dan 27 Julai iaitu minggu depan. Setiap minggu, kejohanan akan diadakan bermula pukul 8.30 malam sehingga 12 tengah malam," katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurut Jamsari, bagi setiap kejohanan tersebut, hanya 20 pasukan pertama saja diterima untuk bertanding setiap minggu dan mereka akan dibahagikan kepada empat kumpulan bagi merebut tempat ke suku akhir, separuh akhir dan akhir.
"Yuran penyertaan sebanyak RM140 dengan maksimum lapan pemain didaftarkan bagi setiap pasukan. Juara akan mendapat RM500, kedua RM300 dan ketiga RM180.
"Bagi pendaftaran, dapatkan borang di kaunter-kaunter pusat futsal berkenaan atau hubungi saya di 012-2483420 atau Khairun Haled Masron 012-7470993 atau Nizam 012-2535309," ujar Jamsari.