Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
17.07.08

NS tangguh hajat Selangor sah ke suku akhir

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)

SELANGOR mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Malaysia, kelmarin tetapi status itu tampak belum pasti lagi untuk skuad Merah Kuning itu andai berpandu kepada perkembangan terbaru, semalam.

Segala-galanya kerana Negeri Sembilan memutuskan untuk 'mencabar' keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan kemenangan 3-0 mereka ke atas bekas juara itu pada perlawanan, 27 Jun lalu.

Negeri Sembilan akan berhujah bahawa keputusan jawatankuasa pertandingan tempatan, Isnin lalu, untuk menghukum mereka kerana menurunkan pemain import, Udo Fortune, menggantikan pemain pengisi kuota bawah 21 tahun, Zaquan Adha Abdul Radzak, tidak tepat.

Ia akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Rayuan badan induk itu sebelum tamat tempoh 14 hari yang diberi kepada mereka untuk berbuat demikian.

Menurut sumber, secara teknikal Negeri Sembilan tidak menyalahi peraturan yang ditetapkan kerana peraturan tidak mewajibkan pemain bawah 21 tahun harus diganti seorang pemain bawah 21 tahun tempatan.

"Pada pertemuan Selangor-Negeri Sembilan 27 Jun lalu, Negeri Sembilan mengeluarkan Zaquan Adha Abdul Radzak dan menggantikannya dengan pemain import, Udo Fortune.

"Peraturan hanya menggariskan pemain B-21 hanya boleh digantikan dengan pemain B-21, tetapi tidak menyatakan sama ada ia wajib digantikan dengan seorang pemain tempatan dan secara teknikal Negeri Sembilan mempunyai hujah kuat kerana Fortune berusia bawah 21 tahun," kata sumber itu.

Jika Jawatankuasa Rayuan FAM menerima rayuan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, keputusan yang dibuat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan boleh dibatalkan dan pasukan bimbingan Wan Jamak Wan Hassan mampu memperoleh semula tiga mata yang ditarik balik.