11.07.08
Pemain muda Selangor lepasi ujian awal
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
DUA pemain bawah 21 tahun Selangor, Fauzan Dzulkifli dan Fitri Shazwan Raduwan melepasi ujian pertama.
Mereka tampil dengan aksi cemerlang bersama skuad senior apabila membantu Selangor menewaskan Sarawak 3-2 pada saingan bola sepak Piala Malaysia di Kuching malam kelmarin.
Pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata, Fauzan yang diletakkan dalam kesebelasan utama biarpun sedikit gugup pada permulaan perlawanan berjaya juga menyesuaikan diri selepas itu.
"Cuma pada awal babak kedua, Fauzan tercedera dan kita masukkan pula Fitri menggantikannya. Fitri tak ambil masa lama nak sesuaikan diri, malah mendapat satu peluang terbaik untuk menjaringkan gol," katanya kepada Kosmo! semalam.
Pada perlawanan itu, tiga gol Selangor diperolehi menerusi Frank Seator pada minit ke-16, Safee Sali (45) dan Elie Aiboy (90) manakala Sarawak membalas melalui Joseph Kallang (44) dan Piousdinho (57).
"Kemenangan ini cukup memuaskan kerana kita hampir-hampir seri sebelum Elie menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan. Dengan Negeri Sembilan tewas dan Kelantan sekadar seri, ia mencerahkan kembali peluang kita ke suku akhir," jelasnya.
Menurut Zakaria, Fauzan dan Fitri bakal terus dipilih untuk mengisi slot wajib seorang pemain bawah 21 tahun dalam kesebelasan utama apabila Selangor bertemu Negeri Sembilan di Paroi malam esok.
Dalam pada itu, Selangor berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Presiden setelah menewaskan UPB-MyTeam 3-2 dalam perlawanan terakhir peringkat suku akhir secara liga petang semalam.
Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamdan Hashim selaku koordinator pasukan, Selangor selaku juara kumpulan akan bertemu naib juara satu lagi kumpulan, Terengganu manakala naib juara, MyTeam akan bertemu juara kumpulan tersebut, Perak.
"Pada perlawanan tadi (semalam), dua gol Selangor dijaringkan Mohd Aizat Jaini dan T. Devandren menyumbat satu gol. Separuh akhir pertama berlangsung di Kuala Terengganu pada 17 Julai dan separuh akhir kedua di Shah Alam pada 24 Julai," katanya.