Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
02.07.08

Penyokong setia skuad Gergasi Merah tertipu?

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

SEDAR atau tidak, penyokong setia bola sepak Selangor yang tetap membanjiri stadium pada setiap minggu sebenarnya telah 'ditipu' pemain mereka sendiri.

Ini terbukti apabila pemain-pemain berstatus bintang dan pemain kebangsaan itu didapati sengaja beraksi di bawah kemampuan pada beberapa perlawanan kebelakangan ini sebagai menunjukkan 'kuasa pemain' dimiliki oleh mereka.

Demikian jelas Pengasas Laman Web Penyokong Bola Sepak Selangor (SelangorFC.com), Amir Sharifuddin Samad yang mendedahkan punca sebenar yang menyaksikan Selangor dibelasah 3-0 oleh Negeri Sembilan Jumaat lalu dan dibelasah Kelantan 5-2 kelmarin.

"Persembahan tidak bermaya pasukan Selangor sejak tewas pada perlawanan akhir Piala FA dua minggu lalu memang menimbulkan keraguan dan tanda tanya peminat. Kepenatan sahaja tidak boleh dijadikan alasan sehingga menjejaskan corak permainan mereka.

"Saya sendiri mendapat maklumat daripada individu-individu tertentu dalam pasukan. Memang benar, pemain-pemain sengaja buat kalah kerana mereka tidak suka dengan perubahan yang telah dan bakal dirancang oleh pengurusan baru," katanya kepada Kosmo! semalam.

Justeru tegas Amir, andai benar terbukti ada unsur-unsur untuk menjatuhkan pasukan, sebagai wakil peminat Selangor dia menggesa pengurus pasukan yang baru, Zakaria Ab. Rahim mengambil langkah drastik termasuk merehatkan pegawai dan pemain yang terlibat tanpa ragu-ragu.

"Biarlah hanya pemain yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh bermain mengharumkan nama negeri sahaja yang beraksi, biarpun mentah dan tidak mempunyai nama.

"Mana tahu, 'kelaparan' pemain-pemain muda ini untuk beraksi mungkin boleh membawa cabaran lebih bermakna bagi pasukan dalam mengharungi baki perlawanan Piala Malaysia berbanding mengharap pemain bintang yang jelas tidak bernafsu untuk menyarung jersi Selangor lagi," ujarnya.

Tambahnya, pemain di bangku simpanan dan skuad Piala Presiden Selangor sebenarnya dibarisi mereka yang berbakat tetapi tidak diberi peluang beraksi seperti bekas penjaga gol bawah 19 kebangsaan, Nuraizat Aziz, Azri Alwan Nordin, Lukhman Noor Hakim, Fazilidin Khalid dan S. Sritharan.

"Pemain-pemain bintang dan pegawai pasukan yang mempunyai agenda peribadi dan tersendiri ini wajar disingkirkan.

"Usah takut, kami sentiasa menyokong sebarang tindakan pengurusan demi kebaikan pasukan. Singkirkan saja mereka yang sengaja menjatuhkan maruah Red Giants," katanya.