15.07.08
Perlu bersikap profesional - FAM
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
SETIAP pemain bola sepak yang berstatus profesional sepatutnya perlu mempunyai nilai disiplin yang tinggi dan tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan mengikut perasaan.
Demikian jelas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad ketika diminta mengulas insiden dua pemain Selangor, Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin yang menyerang dan memukul penyokong Selangor di Paroi Sabtu lalu.
Menurut Azzuddin, pada pandangan FAM, semua pemain profesional di negara ini sepatutnya menunjukkan imej yang baik kepada para penyokong mereka.
"Janganlah sampai ambil undang-undang sendiri sesuka hati. Sebagai pemain profesional, mereka perlu bekalkan diri mereka dengan kelakuan baik serta jangan cepat melatah apabila diprovokasi," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ditanya apakah jenis tindakan yang boleh dilakukan FAM terhadap Shukor dan Indra, Azzuddin menjelaskan, kes tersebut berlaku di luar stadium dan selepas perlawanan berakhir sekali gus menjadikan ia di luar bidang kuasa FAM.
"Kes berlaku di luar stadium, jadi ia tertakluk kepada pihak polis. Lagipun saya hanya baca menerusi akhbar ini (Kosmo!) dan mangsa pun sudah buat laporan polis selepas kejadian.
"Jadi, tak adil untuk saya mengulas lanjut kerana bimbang ia akan menjejaskan siasatan polis.
"Apa jenis tindakan disiplin kepada kedua-dua pemain itu, terserah kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) membuat keputusan," jelasnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang penyokong Selangor, Ardenoo Alui, 29, telah diserang dan dipukul dua pemain berkenaan selepas tamat perlawanan antara Selangor dan Negeri Sembilan Sabtu lalu.
Ia berpunca daripada rasa dendam dan marah Shukor dan Indra kerana Ardenoo pada 3 Julai lalu telah menggantung banner mengutuk pemain ketika perlawanan Selangor bertemu Melaka di Stadium Shah Alam.
Andai tiada jalan penyelesaian dibuat, kemarahan dan dendam kedua-dua pihak yang terbabit dalam insiden tersebut pasti akan berpanjangan dan FAS sewajarnya memanggil semua yang terlibat untuk duduk semeja mencari jalan penyelesaian dengan cara yang baik.