09.07.08
Piala Malaysia: Sarawak 2-3 Selangor
Oleh: misai11 (SELANGORFC.COM)
SELANGOR berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari Kuching apabila mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Sarawak pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sarawak malam tadi.
Frank Seator terlebih dahulu meletakkan Selangor di hadapan menerusi gol pada minit ke-16 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Joseph Kallang pada minit ke-44.
Namun, ia tidak bertahan lama apabila seminit kemudian Safee Sali meledak gol kedua Selangor untuk pasukan pelawat itu mendahului 2-1 sebelum menuju ke bilik persalinan.
Impian Selangor untuk mencatat kemenangan di gelanggang lawan tersentak seketika apabila Sarawak berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-57 menerusi jaringan Piousdinho.
Pemain sayap, Elie Aiboy bagaimanapun muncul wira dan memastikan kemenangan milik Selangor apabila berjaya menjaringkan gol ketiga pasukan pelawat pada minit ke-90.
Berbaki empat perlawanan, Selangor masih berpeluang untuk menduduki dua tangga teratas Kumpulan A bagi kelayakan automatik ke suku akhir setelah berjaya mengumpul 10 mata selepas enam perlawanan.
Aksi Selangor selepas ini ialah bertemu Negeri Sembilan di Paroi pada Sabtu ini diikuti perlawanan menentang Kelantan di Shah Alam pada Selasa depan dan Terengganu juga di Shah Alam pada Jumaat depan sebelum menamatkan aksi Kumpulan A bertemu Melaka di gelanggang lawan.
SELANGOR:
21-SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 19-D.SURENDRAN, 4-EVANS CHISULO, 29-NAZRUL ERWAN MAKMOR, 15-P.GUNALAN, 8-ELIE AIBOY, 25-SHUKOR ADAN, FAUZAN DZULKIFLI (FITRI SHAZWAN RADUWAN), 17-AMRI YAHYAH (23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN), 9-FRANK SEATOR, 10-SAFEE SALI.