18.07.08
Piala Malaysia: Selangor 2-0 Terengganu
Oleh: misai11 (SELANGORFC.COM)
SELANGOR kini sah muncul sebagai juara Kumpulan A dalam saingan Piala Malaysia 2007/08 setelah berjaya menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Biarpun masih berbaki satu perlawanan, Selangor yang sudah mengumpul 22 mata tidak mampu lagi dipintas tiga pesaing utama dalam Kumpulan A iaitu Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan.
Frank Seator menjaringkan gol pertama Selangor pada minit ke-38 menerusi satu sepakan leret yang tepat menuju ke penjuru kanan pintu gol Terengganu untuk kedudukan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Pada babak kedua, Selangor mematikan terus cabaran Terengganu apabila rembatan kencang Akmal Rizal Rakhli berjaya menewaskan penjaga gol lawan pada minit ke-70 sesudah dia menerima hantaran Safee Sali yang ketika itu baru masuk menggantikan Seator.
Perlawanan terakhir Kumpulan A pada 2 Ogos depan (Sabtu) bakal menyaksikan Selangor akan bertandang ke Stadium Hang Jebat untuk bertemu Melaka sebelum mereka turun beraksi bagi perlawanan suku akhir pada 5 dan 9 Ogos.
SELANGOR:
22-MEGAT AMIR FAISAL, 17-AMRI YAHYAH, 4-EVANS CHISULO, 3-RAZMAN ROSLAN (26-NASRIQ BAHAROM), 27-ASRARUDDIN PUTRA OMAR, 8-ELIE AIBOY, 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN, 25-SHUKOR ADAN, 24-AMIRUL HADI ZAINAL (11-R.SURENDREN), 9-FRANK SEATOR (10-SAFEE SALI), 14-AKMAL RIZAL RAKHLI.