15.07.08
Piala Malaysia: Selangor 4-1 Kelantan
Oleh: misai11 (SELANGORFC.COM)
SELANGOR mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia selepas berjaya menewaskan Kelantan 4-1 pada aksi Kumpulan A di Stadium Shah Alam malam tadi.
Kemenangan itu begitu bermakna sebagai hadiah ulangtahun ke-14 Stadium Shah Alam yang jatuh pada tanggal 16 Julai, selepas ia dirasmikan pada tahun 1994.
Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi rembatan kencang Indra Putra Mahayuddin yang gagal ditampan kemas penjaga gol Kelantan, Shahrizan Ismail.
Empat minit kemudian, Indra sekali lagi melebarkan kedudukan 2-0 apabila sepakan percumanya terus menerjah jaring tanpa sempat dicapai Shahrizan.
Selangor terus garang apabila kapten, Shukor Adan menjaringkan gol ketiga selepas berjaya menanduk masuk sepakan penjuru Elie Aiboy pada minit ke-40.
Babak kedua bermula, Selangor mengendurkan asakan setelah mendahului 3-0 tetapi Elie masih bernafsu apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-74 menerusi satu rembatan deras dari luar kotak penalti.
Pada masa kecederaan, Kelantan akhirnya memperolehi gol saguhati menerusi sepakan lambung Zairul Fitri Ishak yang terus menerjah jaring tatkala penjaga gol Selangor, Suffian Abdul Rahman agak terkeluar dari posisinya.
Berbaki dua perlawanan, Selangor di tangga teratas kumpulan dengan 19 mata dan telah menjamin dua kedudukan teratas untuk ke suku akhir secara automatik kerana hanya Terengganu yang boleh memintas mereka dengan mata maksimum 22 mata.
Manakala dua lagi pasukan, Kelantan dan Negeri Sembilan hanya mampu mencapai mata maksimum masing-masing 17 mata dan 16 mata selepas beraksi kesemua perlawanan mereka nanti, selain Sarawak dan Melaka yang sudah terkeluar daripada saingan ke suku akhir.
Jumaat ini, Selangor akan melayan kunjungan Terengganu di Stadium Shah Alam sebelum melengkapkan jadual perlawanan bagi Kumpulan A menentang Melaka di Stadium Hang Jebat pada 2 Ogos depan.
Aksi suku akhir Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 5 Ogos (Selasa) dan 9 Ogos (Sabtu).
SELANGOR:
21-SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 17-AMRI YAHYAH, 4-EVANS CHISULO, 29-NAZRUL ERWAN MAKMOR, 15-P.GUNALAN, 8-ELIE AIBOY (11-R.SURENDRAN), 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN, 25-SHUKOR ADAN, 28-FITRI SHAZWAN RADUWAN, 9-FRANK SEATOR (14-AKMAL RIZAL RAKHLI), 10-SAFEE SALI (7-S.SRITHARAN).