24.07.08
Piala Presiden: Selangor intai aksi final
Oleh: misai11 (SELANGORFC.COM)
SELANGOR bakal turun menentang Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada pukul 4.45 petang ini (Khamis) bagi perlawanan separuh akhir kedua Piala Presiden 2008.
Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam pada Khamis lalu, Selangor mencatat kemenangan tipis 2-1 hasil jaringan penyerang sensasi, Lukhman Noor Hakim Jaafar dan pemain sayap lincah, Fitri Shazwan Raduwan.
Jika menang atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri pada petang ini, Selangor berkemungkinan akan bertemu juara bertahan, Perak pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada Khamis depan (31 Julai).
Perak yang menewaskan UPB-MyTeam 4-0 pada perlawanan separuh akhir pertama di Ipoh pada Isnin lalu hanya akan turun beraksi pada perlawanan kedua di tempat lawan di Stadium Jenderata, Teluk Intan petang esok (Jumaat) untuk menentukan satu lagi slot ke perlawanan akhir.