24.07.08
Piala Presiden: Selangor ke final
Oleh: misai11 (SELANGORFC.COM)
KETANGKASAN penjaga gol, Fairul Azwan Shahrullai menyelamatkan empat sepakan penalti Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin petang tadi membawa Selangor ke perlawanan akhir Piala Presiden 2008 hasil kemenangan 3-2 menerusi sepakan penalti.
Terdahulu, pada masa sebenar perlawanan, Terengganu berjaya memperolehi dua gol menerusi Wan Mohd Alif Jasmi pada minit ke-12 dan 63 sebelum Fauzan Dzulkifli menyelamatkan Selangor menerusi jaringan pada minit ke-82.
Kedudukan agregat terikat 3-3 kerana pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam minggu lalu, Selangor telah menewaskan Terengganu 2-1 dan ia mengheret perlawanan separuh akhir kedua petang tadi ke masa tambahan dan seterusnya penentuan sepakan penalti.
Pada penentuan sepakan penalti, selepas habis lima sepakan penalti diambil, kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Nasriq Baharom dan Safiq Rahim berjaya menyempurnakan sepakan penalti manakala tiga yang lain gagal iaitu Fauzan, Premanathan dan Lukhman Noor Hakim Jaafar.
Di puntu gol Selangor pula, Fairul berjaya menyelamatkan tiga daripada lima sepakan awal Terengganu.
Penjaga gol skuad Sukma Selangor itu sekali lagi bertindak cemerlang apabila berjaya menyelamatkan sepakan keenam Terengganu sebelum Bathrul Zaman Ibrahim menyempurkan sepakan keenam Selangor untuk kemenangan 3-2 menerusi sepakan penalti.
Kejayaan melangkah ke perlawanan akhir dengan penuh dramatik itu cukup manis buat Selangor kerana kali terakhir mereka layak ke final Piala Presiden adalah pada tahun 2001.
Pada tahun 1998, Selangor mara ke final dan muncul juara.
Namun, tiga tahun selepas itu (1999, 2000 dan 2001) Selangor mara ke final berturut-turut tetapi ketiga-tiganya tewas di final.
Lawan Selangor pada perlawanan akhir Khamis depan adalah di antara juara bertahan, Perak atau UPB-MyTeam yang hanya akan bertarung pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Jenderata, Teluk Intan petang esok.