07.07.08
Pilihan Selangor juara
Oleh: Azian Aziz (UTUSAN MALAYSIA)
SHAH ALAM - Pilihan Selangor muncul juara bola sepak Piala Sultan Selangor 2008 apabila menewaskan pilihan Singapura 4-3 menerusi penentuan tendangan penalti dalam pertemuan penuh aksi dan mendebarkan di Stadium Shah Alam di sini, malam tadi.
Kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam permainan masa sebenar sehingga memaksa penentuan tendangan penalti itu.
Selangor meraih kemenangan itu menerusi tendangan penalti yang disempurnakan oleh Mohd. Safee Sali, Mohd. Amri Yahaya, Indra Putra Mahayuddin dan pemain import, Elei Aiboy dari Indonesia.
Kemenangan itu sekali gus menebus kehampaan Selangor yang tewas dua kali dalam pertemuan pada 2006 dan tahun lalu.
Dalam aksi permainan sepenuh masa, dua gol pilihan Selangor dijaringkan Mohd. Safee Mohd. Sali pada minit ke 33 dan minit ke 60.
Bagaimanapun Singapura lebih dulu membuka jaringan seawal minit pertama menerusi Okayama Tatsuya sebelum Mohd. Safee mengikat semula kedudukan 1-1.
Selangor kemudiannya mengambil giliran mendahului pada minit ke-60 menerusi Safee tetapi kelebihan itu dinafikan Singapura dengan gol penyamaan menerusi Ashrin Shariff pada minit ke-80 untuk memaksa permainan ditentukan menerusi penentuan tendangan penalti.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut berangkat menyaksikan perlawanan dan berkenan menyampaikan hadiah RM50,000 serta piala kepada para pemain Selangor dan saguhati RM10,000 kepada pasukan pelawat.
Sementara itu, dalam perlawanan terdahulu yang menampilkan bekas bintang-bintang 1970an dan 80an kedua-dua pasukan, Veteran Singapura menang 8-7 menerusi penentuan tendangan penalti.