Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.07.08

Pilihan Selangor rampas gelaran

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

PILIHAN Selangor berjaya menebus kekecewaan tahun lalu, sekali gus merampas kembali kejuaraan Piala Sultan Selangor apabila menewaskan Pilihan Singapura 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Shah Alam malam tadi.

Empat pemain Pilihan Selangor, Safee Sali, Elie Aiboy, Amri Yahyah dan Indra Putra Mahayuddin berjaya menyempurnakan sepakan masing-masing manakala sepakan keempat menerusi R. Surendren diselamatkan penjaga gol Pilihan Singapura, Lionel Lewis.

Pilihan Singapura pula sepakan pertama oleh Aliimran Lomri tersasar dan sepakan kelima oleh Shahril Isak berjaya diselamatkan penjaga gol Pilihan Selangor, Suffian Abdul Rahman.

Disaksikan kira-kira 30,000 penonton, terdahulu kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas tamat masa sebenar perlawanan.

Pilihan Singapura mendahului seawal minit pertama menerusi jaringan Okayama Tatsuya sebelum Safee Sali berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-33.

Safee kembali meletakkan Pilihan Selangor di hadapan menerusi jaringan kedua pada minit ke-60 sebelum Ashrin Shariff menyamakan kedudukan pada minit ke-79.

Dengan kemenangan itu, Pilihan Selangor muncul juara sebanyak empat kali manakala Pilhan Singapura menang dua kali dan pada tahun 2004 kedua-dua pasukan muncul juara bersama selepas seri 2-2.

Pada aksi pembukaan, Veteran Singapura berjaya menewaskan Veteran Selangor 8-7 menerusi penentuan sepakan penalti setelah P. Somasundram gagal menyempurnakan sepakan kelapan Selangor.

Selepas 40 minit masa perlawanan sebenar, kedua-dua pasukan terikat 1-1 dengan Somasundram meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-25 sebelum disamakan Singapura menerusi Au Yeong Pak Kuan pada minit ke-40.

Selepas tujuh edisi, Veteran Selangor dan Veteran Singapura masing-masing menang sebanyak tiga kali manakala pada edisi pertama (2001), kedua-dua pasukan muncul juara bersama selepas seri dengan keputusan 2-2.

Tahun lalu, Singapura menang kedua-dua perlawanan, di mana Veteran Singapura menewaskan Veteran Selangor 1-0 sementara Pilihan Singapura membenam Pilihan Selangor 3-1.

SELANGOR:

1-SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 19-D.SURENDRAN (23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN), 16-NAZRUL ERWAN MAKMOR, 4-EVANS CHISULO, 14-ASRARUDDIN PUTRA OMAR (15-P.GUNALAN), 8-ELIE AIBOY, 12-SHUKOR ADAN, 3-AMIRUL HADI ZAINAL (5-SAFIQ RAHIM), 17-AMRI YAHYAH, 9-FRANK SEATOR(11-R.SURENDREN), 10-SAFEE SALI.