16.07.08
Polis panggil Indra, Shukor
Oleh: Hussain Said (BERITA HARIAN)
POLIS akan memanggil dua pemain bola sepak Selangor, Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin untuk direkodkan keterangan berhubung dakwaan terbabit dalam insiden pergaduhan dengan seorang penyokong pasukan itu di perkarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dekat sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 28 tahun yang mendakwa dipukul kedua-dua pemain itu kira-kira jam 11 malam sejurus tamat saingan Piala Malaysia antara Selangor bertemu Negeri Sembilan.
"Mangsa yang juga seorang eksekutif jualan dari Shah Alam, Selangor mendakwa ditumbuk di kepala dan telinga. Akibat kejadian itu mangsa mendakwa terpaksa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS)," katanya di sini, semalam.
Saiful Azly berkata, pihaknya akan melakukan siasatan kes itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
"Kita perlu mendapat kebenaran daripada Pegawai Pendakwa Raya terlebih dulu untuk melakukan siasatan kerana kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan sebaik menerimanya kita akan memanggil kedua-dua pemain itu," katanya.
Difahamkan, insiden pergaduhan itu berpunca selepas mangsa melakukan provokasi terhadap kedua-dua pemain itu yang kemudian dikatakan bertindak balas tetapi apa juga alasan, tindakan mereka adalah satu kesalahan, sekali gus tidak menggambarkan sikap pemain profesional.
Malah, insiden pergaduhan itu bukan kali pertama membabitkan pemain Selangor kerana pada musim 2006, dua pemain Merah Kuning, K Sanbagamaran dan Fairuz Montana Zainal Abidin cuba menyerang penyokong selepas dilempar kata-kata kesat tetapi berjaya dihalang pegawai keselamatan bertugas.
April tahun lalu, seorang penyokong pasukan bola sepak Negeri Sembilan membuat laporan polis terhadap jurulatih skuad itu, Hatem Souissi dari Tunisia kerana mendakwa dipijak di dada hingga lebam sejurus tamat perlawanan Liga Super antara Negeri Sembilan menentang Perlis.