05.07.08
Safee, Indra kembali bertenaga
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
TINDAKAN Selangor merehatkan dua pemain utamanya, Safee Sali dan Indra Putra Mahayuddin menunjukkan hasil positif apabila mereka menang besar 5-2 ke atas Melaka di Stadium Shah Alam kelmarin.
Pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata, dua pemain terbabit yang jelas kepenatan setelah beraksi banyak perlawanan sebelum ini telah menunjukkan permainan yang bertenaga apabila dimasukkan pada minit ke-70.
"Ketika kita mendahului 3-2, kemasukan Safee dan Indra nampak berkesan. Safee berjaya menjaringkan dua gol manakala Indra begitu bertenaga sekali dengan larian-larian deras.
"Pujian juga buat semua pemain termasuk Frank Seator yang meledak dua gol dan Amirul Hadi Zainal yang menjaringkan gol pertama," katanya selepas perlawanan itu.
Zakaria turut lega melihatkan para pemainnya beraksi dengan bersungguh-sungguh setelah mereka tewas dua perlawanan sebelum ini sekali gus membuktikan Selangor sebuah pasukan yang harus digeruni dalam kempen Piala Malaysia.
"Saya harap para pemain dapat mengekalkan prestasi terbaik seperti ini dan kepada penyokong, teruskan sokongan kerana penyokong adalah segala-galanya bagi Selangor," ujarnya.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh pula berkata, dia terpaksa memanggil beberapa pemain daripada skuad Piala Presiden bagi mengisi slot pemain bawah 21 tahun pada aksi menentang Sarawak Rabu depan.
"Semua pemain bawah 21 tahun yang biasa saya turunkan (Safiq Rahim, Nasriq Baharom dan Asraruddin Putra Omar) akan menyertai latihan skuad bawah 23 tahun kebangsaan minggu depan," katanya.